Sunday, July 13, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Emma nasihat generasi baharu jaga disiplin

    Pelakon Malaysia, Emma Maembong, menasihatkan generasi baharu yang masih berjinak-jinak dalam dunia lakonan agar sentiasa menjaga disiplin terutama membabitkan panggilan penggambaran.

    Pernah berhadapan pelakon tak mematuhi jadual penggambaran, Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 33, menegaskan pelakon perlu tepati masa supaya tidak menyusahkan orang sekeliling.

    “Kita boleh tahu seseorang itu bertahan lama dalam industri atau tidak, jika dia jaga disiplin.

    “Kalau kita lambat pergi tengok wayang. Filem itu tetap akan ditayangkan tapi kalau kita lambat datang (tak hormat panggilan) lokasi penggambaran terutama pada waktu pagi, semua orang akan tunggu awak.

    “Awak akan menyusahkan banyak orang termasuk pengarah, jurukamera, jurusolek, pasukan yang jaga pakaian.

    Emma menasihatkan pelakon baharu agar sentiasa menjaga disiplin agar tidak menyusahkan orang sekeliling. – ANN The Star

    “Ikutlah engkau nak berparti sampai malam sebab kadangkala budak muda ini mahu berparti cuma tidak tahu kemampuan diri. Esok itu boleh bangun awal atau tidak?,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.

    Berkongsi lanjut, pelakon drama Seribu Tahun itu menceritakan pengalaman pernah ‘disidai’ seharian di set penggambaran.

    Namun, dia lebih tenang mengendalikan situasi berkenaan dan melanjutkan kehidupan seperti biasa.

    “Saya pernah datang sejak awal pagi sampai malam, lepas itu mereka minta maaf sebab tak sempat nak lakukan penggambaran tapi saya ini sudah tua, kalau dulu mungkin sedikit berang.

    “Kini, saya ambil kopi, pulang. Balik rumah sapu minyak angin dan jaga anak.

    “Saya kerja keras demi anak-anak juga. Begitulah sebahagian daripada pekerjaan kita sedangkan disiplin sangat penting,” ujarnya lagi.

    Sebelum ini, pelakon Shukri Yahaya mendedahkan pernah dibiarkan di set penggambaran selama lapan jam. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda