BERLIN, 22 MEI – Sekurang-kurangnya 40 orang cedera dengan sebahagian besar mangsa parah dalam bencana puting beliung Emmelinde, yang melanda bandar Paderborn di Jerman kelmarin, kata polis dan pihak bomba.
Seorang jurucakap polis berkata ribut itu turut menyebabkan kerosakan besar di Paderborn, negeri Rhine-Westphalia Utara dan melanda ketika suhu tinggi luar biasa dicatatkan di Jerman ketika ini.
“Sekurang-kurangnya 40 mangsa cedera dengan sebilangan yang parah dan sudah dibawa ke hospital,” kata jabatan bomba dalam satu kenyataan di Twitter.
Menurut polis pula, seorang mangsa sedang bertarung nyawa selepas cedera akibat bencana alam itu.
Di negeri jiran, Rhineland-Palatinate, seorang lelaki berumur 38 tahun meninggal dunia akibat terkenan renjatan elektrik selepas terjatuh semasa memasuki bilik bawah tanah yang dibanjiri air di kediamannya, kata polis di bandar Koblenz.
Perjalanan kereta api di barat Rhineland-Palatinate turut tergendala manakala polis meminta orang ramai supaya tidak keluar rumah. Di Paderborn, polis menganggarkan kerugian yang disebabkan puting beliung itu mencecah beberapa juta euro. – AFP
