KYIV, UKRAINE, 7 JUN – Lebih 2,700 orang telah dipindahkan di kedua-dua belah Sungai Dnipro daripada banjir yang disebabkan oleh kemusnahan empangan Kakhovka yang diduduki Rusia di Ukraine, kata pegawai hari ini.
Jurucakap perkhidmatan kecemasan Ukraine, Oleksandr Khorunzhyi, berkata di televisyen bahawa “lebih 1,450 orang telah dipindahkan.”
“Buat masa ini tiada maklumat mengenai mangsa maut atau cedera,” katanya sambil menambah paras air di bandar Kherson meningkat lima meter.
Pegawai berkenaan berkata, ribuan orang lagi perlu meninggalkan rumah mereka dan ramai yang sudah berbuat demikian dengan usaha sendiri.
Timbalan gabenor wilayah Kherson yang ditempatkan di Moscow, Tatyana Kuzmich, berkata, 1,274 telah dipindahkan di sebelah sungai yang dikawal Rusia.
Kuzmich berkata, angka itu termasuk 38 orang yang telah diselamatkan dari bumbung rumah, sambil menambah bahawa beberapa penduduk masih ada yang terkandas.
“Menurut data daripada kementerian kecemasan, 1,274 telah diselamatkan, 32 daripadanya kurang upaya,” katanya kepada televisyen negara Rusia. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/06/P13-B_08062023.jpg)