HANOI, 2 NOV – Sebuah empangan yang dibina di kawasan pergunungan pecah di wilayah Tanah Tinggi Tengah Lam Dong, Vietnam kelmarin malam, mengakibatkan tiga orang anggota sekeluarga dihanyutkan arus dan mengorbankan anak perempuan mereka, memetik kenyataan media VnExpress, hari ini.
Ibu bapa mangsa sempat berpaut pada dahan pokok dan diselamatkan pada waktu malam oleh penduduk serta pasukan penyelamat, manakala mayat anak perempuan mereka yang berusia 13 tahun telah ditemukan awal pagi hari ini, kira-kira 600 meter dari rumahnya.
Pihak berkuasa tempatan sedang menyiasat punca kejadian tersebut.
Hujan lebat sejak beberapa hari lalu telah meningkatkan paras air sungai dan empangan di seluruh wilayah berkenaan, sekali gus mencetuskan tanah runtuh, banjir di lebuh raya dan gangguan lalu lintas di beberapa kawasan, menurut laporan itu. – Bernama


