Wednesday, November 6, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Empangan runtuh akibat banjir ragut 30 nyawa

    PORT SUDAN, 27 OGOS – Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh di timur laut Sudan selepas sebuah empangan runtuh akibat banjir, kata agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

    Negara yang dilanda perang itu telah mengalami musim hujan yang lebat sejak bulan lalu, dengan banjir besar berlaku sekali-sekala terutamanya di utara dan timur negara itu.

    ‘Sebanyak 30 kematian telah disahkan’ selepas runtuhan Empangan Arbaat di negara Laut Merah Sudan pada Ahad, kata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) yang memetik kenyataan delegasi kerajaan kelmarin.

    “Bagaimanapun, jumlah korban mungkin jauh lebih tinggi,” katanya, sambil menambah bahawa ‘ramai orang dilaporkan hilang atau dipindahkan’.

    Empangan Arbaat terletak kira-kira 38 kilometer di barat laut Port Sudan, yang menjadi pusat pemerintahan sementara selepas pihak berkuasa disingkir dari ibu negara Khartoum disebabkan pertempuran antara tentera dan pasukan separa tentera (RSF).

    “Sehingga 50,000 orang yang tinggal di kawasan barat empangan telah terjejas teruk,” kata OCHA.

    “Kira-kira 70 kampung di sekitar Empangan Arbaat dilaporkan terjejas akibat banjir kilat di mana 20 kampung telah musnah,” tambahnya. Kementerian Kesihatan Sudan kelmarin berkata 132 orang terkorban akibat banjir dan hujan lebat di 10 negeri tahun ini, dengan banjir paling teruk dilaporkan di negeri-negeri Utara dan Sungai Nil. – AFP

    Trak yang rosak tertimbus dalam lumpur selepas Empangan Arbaat runtuh, 40km di utara Port Sudan akibat hujan lebat dan banjir pada 25 Ogos. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda