MOSCOW, 20 OKT – Tiga pegawai di lombong emas di Siberia, di mana 15 orang maut selepas sebuah empangan runtuh ditahan hari ini, kata pihak berkuasa Rusia.
“Ketua syarikat perlombongan emas Sissim dan pengurus tapak perlombongan telah ditahan,” kata Jawatankuasa Siasatan, sebuah agensi siasatan dalam satu kenyataan.
Ketiga-tiga mereka telah dibawa ke Krasnoyarsk untuk disoal, katanya.
Sebanyak 15 orang maut sementara enam mangsa hilang, selepas sebuah empangan yang dibina secara haram di lombong emas penempatan terpencil di Siberia runtuh, semalam. Empangan di Sungai Seiba, Krasnoyarsk, Siberia runtuh dan membanjiri beberapa kabin di mana pekerja tinggal, kata pihak berkuasa.
Air banjir berlumpur dan berais melanda beberapa kabin di sebuah kem lombong berhampiran kampung Shchetinkino, pagi semalam, ketika pekerja sedang berehat.
Jurucakap cawangan kementerian kecemasan wilayah, Alyona Aleksishina berkata, misi mencari dan menyelamat diteruskan, semalaman. – AFP