Tuesday, May 13, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Empat ahli PPPBD ke Singapura

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Empat orang ahli Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD), hari ini, berlepas ke Singapura bagi mewakili negara dalam Be Prepared Quest Singapura 2018.

    Berada di Lapang Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar ialah Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Hajah Siti Hafsah binti Haji Abdul Halim dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya, Hajah Viviyanti binti Haji Aji serta ahli persatuan yang lain.

    Wakil negara diketuai oleh Pesuruhjaya Perhubungan PPPBD, Dayang Nasriah binti Awang Nasib yang menjelaskan bahawa pelbagai persiapan telah dilaksanakan untuk ke perkhemahan berkenaan.

    “Ahli yang berjaya untuk ke pertandingan ini telah melakukan beberapa latihan pada setiap pukul 3 petang di Ibu Pejabat PPPBD di Kampung Anggerek,” jelasnya lagi semasa ditemu bual.

    Antara objektif pertandingan berkenaan adalah untuk mempromosi dan meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan semangat kepanduan dalam kalangan peserta khususnya dan ahli antarabangsa yang bergiat aktif dalam aktiviti kepanduan secara amnya.

    Gambar ramai ahli PPPBD di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sebelum bertolak ke Singapura.

    Di samping itu, ia memberi ruang dan peluang kepada ahli untuk berkongsi dengan pelajar dan ahli yang lain dalam lingkungan komuniti yang terlibat dalam kepanduan.

    Peserta negara diwakili oleh Dayang Nur Widadul ‘ Uzma binti Mohammed Alias, Dayang Nur Aqillah Nandasari binti Saidi dan Dayangku Nur Aisyafiqah binti Pengiran Ismail.

    Dalam pertandingan berkenaan, peserta diuji dari segi pengetahuan dan kemahiran dalam tema yang ditetapkan, antaranya mengenai fakta berkaitan Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (World Association of Girl Guides and Girl Scouts) dan Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri bagi Rantau Asia Pasifik.

    Dengan adanya perkhemahan dan penyertaan PPPBD ini diharap dapat meningkatkan kualiti dan potensi ahli persatuan terutama melalui pendedahan kegiatan antarabangsa.

    Ini sekali gus menjadikan mereka sebagai pelapis pemimpin bagi memeriahkan visi dan misi persatuan untuk meningkatkan potensi daripada peringkat kanak-kanak hingga peringkat wanita muda dan dewasa sebagai warganegara Brunei dan dunia yang bertanggungjawab.

    Be Prepared Quest merupakan pertandingan berpasukan yang dianjurkan oleh Pandu Puteri Singapura yang diadakan di Khemah Christine, Singapura untuk ahli Pandu Puteri berumur 14 hingga 17 tahun.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda