Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Empat angkasawan antarabangsa kembali ke Bumi

    WASHINGTON, 10 OGOS – Kru antarabangsa terdiri daripada empat angkasawan kembali ke Bumi kelmarin selepas hampir lima bulan berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), pulang dengan selamat menggunakan kapsul SpaceX.

    Kapal angkasa yang membawa angkasawan Amerika Syarikat (AS), Anne McClain dan Nichole Ayers, angkasawan Jepun Takuya Onishi serta angkasawan Rusia Kirill Peskov itu mendarat di laut berhampiran pantai California pada jam 8:44 pagi waktu tempatan.

    Kepulangan mereka menandakan berakhirnya misi pertukaran kru ke-10 ke stesen angkasa di bawah Program Kru Komersial NASA, yang diwujudkan bagi menggantikan era Pesawat Angkasa Lepas dengan kerjasama industri swasta.

    Kapsul Dragon milik syarikat SpaceX kepunyaan jutawan Elon Musk itu berpisah daripada ISS pada jam 10:15 malam.

    Perjalanan pulang yang memakan masa 17 jam itu diperlahankan ketika memasuki semula atmosfera, sebelum diimbangi lagi dengan pembukaan payung terjun gergasi.

    Empat angkasawan melakukan pendaratan di laut berhampiran pantai California. – AP

    Selepas kapsul mendarat di laut, ia dibawa naik oleh kapal SpaceX dan diangkat ke atas dek. Hanya ketika itu para angkasawan dapat menghirup udara Bumi semula, buat kali pertama dalam beberapa bulan.

    Pasukan angkasawan yang dikenali sebagai Crew-10 itu menjalankan pelbagai eksperimen saintifik semasa berada di ISS, termasuk kajian pertumbuhan tumbuhan dan tindak balas sel terhadap graviti.

    Pelancaran mereka pada Mac membolehkan dua angkasawan AS kembali ke Bumi selepas terperangkap di ISS selama sembilan bulan tanpa diduga.

    Ketika dilancarkan pada Jun 2024, Butch Wilmore dan Suni Williams sepatutnya hanya berada di angkasa selama lapan hari bagi menguji penerbangan berawak pertama pesawat Boeing Starliner.

    Namun, pesawat itu mengalami masalah pendorongan dan didapati tidak sesuai untuk perjalanan pulang, menyebabkan mereka terkandas di angkasa.

    NASA minggu ini mengumumkan bahawa Wilmore telah membuat keputusan untuk bersara selepas 25 tahun berkhidmat di agensi angkasa lepas AS itu.

    Minggu lalu, angkasawan AS Zena Cardman dan Mike Fincke, angkasawan Jepun Kimiya Yui serta angkasawan Rusia Oleg Platonov telah menaiki ISS bagi misi enam bulan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda