HARARE, 15 DIS – Empat ekor badak sumbu putih mati di Zimbabwe selepas minum dari tasik kumbahan tercemar yang juga pembekal utama air ke ibu negara berhampiran, kata pihak berkuasa hidupan terbiar, kelmarin.
Tiga ekor kuda belang, empat seladang, empat helang laut, beberapa ekor kambing dan lembu turut mati sejak seminggu lalu selepas minum dari Tasik Chivero, 30 kilometer dari Harare, kata seorang jurucakap kepada AFP.
Haiwan itu telah diracuni oleh cyanobacteria, yang juga toksik kepada manusia.
“Cyanobacteria berpunca daripada pencemaran air,” kata jurucakap ZimParks Tinashe Farawo kepada AFP. “Pencemaran terus meningkat di Tasik Chivero di mana majlis bandar Harare membuang sisa kumbahan.”
ZimParks memindahkan baki badak sumbu dari Taman Rekreasi Tasik Chivero untuk mengelak kematian selanjutnya, katanya.
Pihak berkuasa tidak memberikan bilangan angka badak sumbu hitam putih dan terancam dalam taman negara itu atas sebab keselamatan, di mana haiwan itu menjadi sasaran pemburu haram.
ZimParks telah cuba menghalang hidupan terbiar daripada menghampiri air tercemar tetapi ia sukar di tengah-tengah keadaan panas dan kering.
“Bagi mengurangkan risiko, kami melaksanakan langkah-langkah untuk menghalang haiwan daripada minum dari empangan yang terjejas dengan meletakkan blok garam di sekitar taman, serta mata air tiruan dengan air bersih,” kata Farawo. – AFP