HANOI, 25 SEPT – Sebuah mahkamah di Vietnam telah menjatuhkan hukuman penjara ke atas empat beradik serta puluhan individu lain dalam kes perjudian dalam talian rentas negara dan mata wang kripto yang melibatkan urus niaga bernilai AS$3.8 bilion, lapor media kerajaan hari ini.
Ahli sindiket itu, yang dikendalikan oleh empat beradik warga Vietnam, telah didakwa menganjur dan menyertai perjudian dalam talian antara awal 2020 hingga akhir 2021 sebelum ditumpaskan polis, menurut akhbar Law Ho Chi Minh City.
Pada akhir perbicaraan dua hari di Ho Chi Minh City pada Rabu malam, keempat-empatnya dijatuhi hukuman penjara antara lapan hingga 13 tahun, menurut laporan tersebut.
Seramai 39 defendan lain menerima hukuman antara tiga tahun ditangguhkan hingga lebih 10 tahun penjara.
Polis Vietnam turut memburu seorang lelaki warga India yang dipercayai dalang utama sindiket tersebut, menurut laporan yang memetik keputusan mahkamah.

Kumpulan penjenayah itu menggunakan berjuta-juta dolar hasil haram untuk membeli hartanah dan kereta mewah di Vietnam serta ‘mencuci’ wang di luar negara.
Polis telah membuka siasatan berasingan berhubung aktiviti pengubahan wang haram, kata laporan itu.
Sindiket itu membangunkan laman web pelaburan berlapis menggunakan mata wang kripto, yang diharamkan di Vietnam.
Pengguna boleh membuka akaun, menukar dong Vietnam kepada token digital seperti USDT dan Ethereum, lalu memindahkannya ke e-dompet untuk digunakan dalam perjudian atas talian.
Pada kemuncaknya, rangkaian itu mempunyai 20,000 pengguna dengan kira-kira 25 juta akaun.
Beberapa pengguna memperoleh komisen dengan memancing kaki judi lain di Telegram dan platform media sosial lain untuk menyertai rangkaian perjudian tersebut. – AFP

