PASIR PUTEH, 24 SEPT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan empat bot dan 43 nelayan termasuk tekong warga Vietnam, kerana menangkap ikan secara haram di perairan Malaysia, menerusi operasi yang dijalankan Khamis lepas.
Timbalan Pengarah Operasi APMM Kelantan Komander Maritim Khairun Dalilah Baharun berkata kesemua tangkapan dilakukan KD Amanah, yang sedang melaksanakan rondaan dalam Op Damai, Op Khas Kuda Laut, Op Naga Barat dan Op Tiris, pada kedudukan 125 hingga 150 batu nautika dari muara Tok Bali.
Beliau berkata bot pertama dan kedua berjaya ditahan lebih kurang pukul 8:18 pagi dan 9:01 pagi, manakala dua buah bot lagi ditahan ketika kapal penguat kuasa dalam perjalanan mengiringi tangkapan pertama dan kedua ke jeti tahanan, sekitar pukul 2:32 petang dan 2:50 petang.
“Dalam kejadian ini, kesemua bot yang dinaiki nelayan terbabit cuba melarikan diri ke sempadan perairan negara, ketika kapal penguat kuasa memberi arahan untuk menghentikan bot.
“Kapal penguat kuasa seterusnya bertindak memintas bot untuk menghentikan bot berkenaan dan mendapati kesemua nelayan yang ditahan merupakan warga Vietnam berusia antara 16 hingga 61 tahun,” katanya pada sidang media di Pejabat APMM Tok Bali, di sini hari ini.
Khairun Dalilah berkata hasil pemeriksaan pada kesemua bot tunda tersebut menemukan 6,000 kilogram hasil tangkapan yang disyaki hasil kegiatan perikanan secara haram dan selain merampas empat buah bot, peralatan menangkap ikan, peralatan navigasi dan komunikasi, serta bekalan diesel dengan anggaran nilai RM3.86 juta. – Bernama
