SINGAPURA, 17 SEPT – Empat orang dibawa ke hospital, termasuk seorang yang mengalami kecederaan melecur ringan, selepas kebakaran berlaku di sebuah flat HDB di Serangoon North, Singapura.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar 8 malam Selasa dan mendapati sebuah bilik di unit tingkat tujuh Blok 502, Serangoon North Avenue 4, sedang terbakar.
“Kebakaran yang hanya melibatkan bilik tidur itu berjaya dipadamkan,” kata SCDF dalam satu hantaran di Facebook.
Tiga penghuni flat berkenaan sempat menyelamatkan diri sebelum SCDF tiba dan kemudian dihantar ke Hospital Besar Singapura (SGH) selepas disahkan terhidu asap.
“Seorang lagi penghuni dari unit bersebelahan turut dibawa ke SGH kerana mengalami simptom sama,” menurut SCDF.
Sekitar 50 penduduk blok berkenaan dipindahkan oleh polis dan SCDF sebagai langkah berjaga-jaga. – Bernama


