Thursday, September 19, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Empat cedera dalam kebakaran loji penapisan minyak

    ATHENS, 18 SEPT – Seramai empat orang cedera ringan kelmarin apabila kebakaran berlaku di kompleks penapisan minyak Motor Oil berhampiran bandar Corinth, 70 kilometer di barat Athens, lapor Xinhua.

    Kebakaran berjaya dikawal sejurus selepas matahari terbenam, namun anggota bomba akan terus bertugas sepanjang malam bagi memadam sisa kebakaran dan mengelakkan risiko kejadian berulang, menurut pasukan bomba.

    Terdahulu, pihak berkuasa menasihatkan penduduk di kawasan itu supaya berpindah sebagai langkah berjaga-jaga. Asap tebal menyelubungi kawasan itu, mengganggu lalu lintas berhampiran loji penapisan.

    Punca kejadian masih belum diketahui, menurut Motor Oil (Hellas) Corinth Refineries S.A. dalam satu kenyataan.

    Motor Oil merupakan kumpulan industri petroleum utama di Greece, khusus dalam penapisan minyak dan perdagangan. Ia juga merupakan antara pembekal bahan api terkemuka di tenggara Eropah, yang menguruskan rangkaian stesen minyak di Greece, Cyprus dan Balkan Barat. – Bernama

    Kebakaran berlaku di sebuah kilang minyak utama yang mendorong pihak berkuasa Greece mengeluarkan amaran pemindahan untuk kawasan sekitarnya, berhampiran bandar pantai Agii Theodori, di Athens, Greece pada 17 September. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda