NEW DELHI, 29 OGOS – Seorang sami dan tiga lelaki lain telah didakwa atas tuduhan merogol dan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun secara beramai-ramai dalam kejadian 1 Ogos lalu, kata polis.
Kes itu yang mencetuskan protes di New Delhi didakwa berlaku selepas kanak-kanak terbabit diserang sami berusia 53 tahun dan tiga pekerja ketika mangsa ingin mengambil air di tempat pembakar mayat.
Keempat-empat suspek yang kini dalam tahanan polis sejak ditangkap awal Ogos lalu berdepan hukuman mati.
Sebelum ini, ibu mangsa memberitahu pihak polis terdapat seorang lelaki telah menghubunginya supaya pergi ke lokasi membakar mayat kerana mendakwa kononnya anak perempuannya itu terkena renjatan elektrik.
Mereka turut memberitahu ibu mangsa jika laporan polis dibuat, doktor akan menjalankan bedah siasat dan menjual organ anaknya itu.
Mayat mangsa kemudiannya dibakar sebelum beberapa penduduk kampung tiba dan menarik sebahagian tubuh mangsa dari cerucuk.
Pihak berkuasa kerajaan dalam kenyataan semalam berkata, melalui kertas pertuduhan setebal 400 muka surat dari Polis Delhi menjelaskan bahawa terdapat bukti saintifik dan teknikal selain keterangan saksi berhubung kejadian terbabit.
Katanya, terdapat desakan supaya pendakwaan dilakukan dalam tempoh 30 hari selepas insiden yang disifatkan sebagai sifar toleransi membabitkan jenayah terhadap wanita dan kanak-kanak.
Menurut data dari Biro Laporan Jenayah Kebangsaan, secara puratanya hampir 90 kes rogol kanak-kanak dan wanita berlaku di India setiap hari pada 2019. – AFP