Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 8 SEPT – Empat pemain muncul juara dalam kategori masing-masing apabila Kejohanan Pingpong Brunei melabuhkan tirai dengan penuh meriah di Dewan Serba Guna Kompleks Sukan Mumong, semalam.
Kejohanan anjuran Persatuan Pingpong Daerah Belait (PPPDB) bermula 24 Ogos lalu disertai 105 pemain dari seluruh negara. Acara tersebut turut diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ke-79 tahun.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan perlawanan akhir berkenaan sekali gus menyampaikan hadiah dan trofi kepada para pemenang ialah Penolong Pegawai Daerah Belait, Awang Mohd Faiq bin Haji Rani. Turut hadir ialah Pengerusi Dewan Perniagaan Cina Daerah Belait, Loo Soon Nin.
Dalam aksi akhir kategori Perseorangan Perempuan, bakat baharu Wong Yue Yee mengejutkan pemain berpengalaman Liu Jia En dengan kemenangan tipis 4-3 selepas pertarungan sengit tujuh set.
Wong Yue Yee yang hanya dua bulan menyertai pertandingan kompetitif mengakui terkejut dengan pencapaiannya, namun berazam untuk terus menyertai kejohanan akan datang bagi meningkatkan kemahirannya.

Kategori Perseorangan Lelaki Bawah 18 Tahun (B-18) pula menyaksikan Joric Hom menewaskan Jai Dua 4-1 dalam best-of-seven. Manakala Sia Mee Mee menundukkan Foo Su Shan 4-0 untuk meraih gelaran Perseorangan Wanita.
Pengiran Mohd Sufian bin Pengiran Haji Ibrahim pula menjuarai kategori Perseorangan Lelaki selepas menewaskan Douglas Koh dalam perlawanan akhir.
Sebelum itu, Pengerusi PPPDB, Raymond Lee dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta berharap kejohanan tersebut dapat mencungkil lebih ramai bakat pemain pingpong tempatan.
“Kami di PPPDB berharap kejohanan ini akan menjadi inspirasi kepada lebih ramai pemain untuk menceburi sukan pingpong, di samping memupuk bakat-bakat baharu di seluruh negara,” katanya.

