Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Empat ditahan, didakwa terlibat serangan pengganas

    BRUSSELS, 3 MAC – Polis Belgium hari ini telah menahan seorang dewasa dan tiga remaja kerana terlibat dalam pertukaran mesej yang didakwa merancang serangan pengganas, lapor media tempatan.

    Keempat-empat mereka ditahan ketika polis menjalankan pencarian di alamat di bandar Brussels, Ninove, Charleroi dan Liege, lapor outlet RTBF dan HLN. Tiada senjata atau bahan letupan ditemui.

    Bagaimanapun, pejabat pendakwa raya persekutuan yang mengendalikan kes itu tidak menjawab sebarang panggilan daripada AFP untuk pengesahan.

    Pihak berkuasa Belgium kekal berwaspada sejak serangan jihad 2016 oleh pengebom berani mati yang mengorbankan 32 orang dalam letupan di lapangan terbang Brussels dan sistem metro di bandar itu.

    Dan pada Oktober tahun lalu, seorang lelaki Tunisia menembak mati dua peminat bola sepak Sweden di Brussels sebelum ditembak mati oleh polis.

    Menurut penyiar RTBF, penahanan hari ini berpunca daripada operasi polis yang menyiasat orang-orang yang dianggap berpotensi ganas dan mempunyai kaitan dengan ekstremisme Islam.

    “Siasatan menunjukkan bahawa orang-orang ini merancang untuk melakukan serangan pengganas,” kata Eric Van Der Sypt, jurucakap pejabat pendakwa raya persekutuan, kepada laman web berita, HLN.

    “Rancangan itu masih belum begitu konkrit, tetapi masih cukup serius untuk menangkap dan menyoal siasat mereka,” katanya.

    Polis menyoal siasat keempat-empat suspek dan dan seorang hakim penyiasat akan menentukan apa yang akan berlaku sama ada hari ini atau esok. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda