Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JAN – Empat orang suspek berjaya ditahan oleh anggota Balai Polis Kuala Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel milik Unified National Networks (UNN) di Kampung Sungai Duhon, Kuala Belait, pada 13 Januari.
Penahanan tersebut dibuat susulan tindakan pantas pihak Balai Polis Kuala Belait yang menjalankan siasatan segera di tempat kejadian serta rondaan berterusan. Anggota dari Ibu Pejabat Daerah Polis Belait menemui aktiviti mencurigakan di kawasan hutan berhampiran Pantai Kuala Belait.
Hasil pemeriksaan tersebut telah mendapati empat orang suspek dalam keadaan mencurigakan, di mana tiga daripada mereka didapati sedang membakar kabel yang disyaki dicuri. Kesemua suspek yang terdiri daripada lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 30 tahun telah ditahan.
Kesemua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan akan dihadapkan ke mahkamah untuk pendakwaan. Pegawai Jenayah Daerah Polis Belait, DSP Dennie Adli bin Haji Sulaiman, menyatakan bahawa kebelakangan ini, laporan kes kecurian kabel semakin meningkat di balai-balai polis di Daerah Belait dan usaha-usaha pencegahan giat dijalankan. PPDB menggesa orang ramai untuk berwaspada dan melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan bagi membendung dan mencegah jenayah ini daripada berleluasa.
Pemilik kedai besi buruk juga diingatkan bahawa menerima barangan curi merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 411, Kanun Keseksaan, yang boleh membawa hukuman penjara selama tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali.