Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Empat individu telah dikenakan kompaun oleh Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Brunei dan Muara (JDBM) setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Penggal 30) di kawasan Pantai Jerudong, baru-baru ini.
Mereka terdiri daripada tiga warga tempatan iaitu Awang Afif Hisyam bin Haji Azamain, Awang Muhammad Aiman Izzudin bin Muhammad Isa, Awang Muhammad Qashri Rawiyani bin Abdul Aji masing-masing dikenakan denda kompaun sebanyak $300. Manakala, Milon Hossain warganegara Bangladesh dikenakan denda sebanyak $200.
Tindakan itu diambil sebagai sebahagian daripada usaha penguatkuasaan undang-undang bagi mengekang kegiatan yang mencemari kebersihan dan ketenteraman awam, khususnya di kawasan rekreasi yang sering dikunjungi orang ramai.
Semua individu tersebut diarahkan untuk menjelaskan jumlah kompaun dalam tempoh tujuh hari dari tarikh tawaran dikeluarkan. Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan tindakan undang-undang selanjutnya dibawa ke mahkamah. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi $9,000, penjara tidak melebihi 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, pihak JDBM turut menyeru orang ramai untuk bersama-sama membanteras kegiatan pembuangan sampah dengan menyalurkan maklumat lengkap seperti alamat lokasi dan gambar ke talian WhatsApp 8321581.
Kerjasama orang ramai amat dialu-alukan demi menjaga kebersihan dan kesejahteraan persekitaran.



