KOTA BHARU, 25 NOV – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memberi cadangan supaya pengurusan Kelantan FC mendedahkan identiti empat individu terkenal yang terlibat dalam kes penipuan terhadap pemilik pasukan itu Norizam Tukiman.
Naib Presiden KAFA Ahmad Muzakkir Hamid berkata ini kerana ramai penyokong memberi tumpuan kepada isu berkenaan dan mahu mengetahui siapakah individu yang terlibat.
“Ramai penyokong tertumpu kepada KAFA dan individu dalam persatuan apabila peguam TRW FC mengeluarkan kenyataan berhubung isu itu semalam.
“Ada empat individu terkenal dalam bola sepak menipu pemilik Kelantan FC melibatkan jutaan ringgit…dedahkan identiti individu yang terlibat itu supaya penyokong dan peminat bola sepak Kelantan tahu,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan Kelantan FC tidak teragak-agak akan mengambil tindakan terhadap empat individu berpengaruh dalam arena bola sepak susalan penipuan terhadap pemilik pasukan Kelantan FC itu. – Bernama