Oleh Adiiwira
Menyebut saja perkataan sukan, kita dengan pantas akan terfikir sesuatu aktiviti yang dilakukan untuk menyihatkan dan mencergaskan badan serta mencerdaskan minda.
Tidak kiralah sukan itu berbentuk olahraga yang hanya memerlukan tenaga manusia mahupun yang menggunakan peralatan seperti basikal, kayu hoki dan sebagainya.
Antara sukan yang digemari dalam masyarakat kita ialah bola sepak, badminton, jogging, hiking, berenang dan banyak lagi.
Namun sukan-sukan yang dijelaskan sudah menjadi sesuatu yang biasa sahaja kerana tanpa diketahui ramai terdapat beberapa jenis sukan yang aneh dan unik. Dalam ruangan ini penulis mengongsikan empat jenis sukan unik yang terdapat di dunia ini:
Headis
Sukan headis merupakan sukan gabungan antara sukan ping pong dan bola sepak. Sukan ini dicipta secara tidak sengaja oleh pelajar Jerman yang bernama Rene Wagner pada tahun 2006 ekoran ketiadaan padang kosong untuk bermain bola sepak.



Oleh itu dia dan seorang rakannya menjumpai sebuah meja ping pong yang kosong dan lalu mengambil sebiji bola getah dan bermain ping pong dengan menggunakan kepala sahaja. Headis secara umumnya dimainkan di atas meja berukuran meja ping pong dengan jaring di tengahnya. Menggunakan bola getah berukuran 7 inci yang kira-kira seberat 100 gram.
Permainan ini sama dengan permainan pingpong, di mana setiap permainan dimulakan dengan servis dan diikuti dengan pulangan berikutnya sehingga satu pemain mendapat satu mata. Setiap pemain bergantian dua kali tanpa mengira siapa yang mendapat mata. Perlawanan dimainkan dalam format tiga set terbaik, di mana setiap set dimainkan dengan 11 mata, dan pemain yang memenangi dua set pertama adalah pemenang pertandingan.
Tejo
Sukan ini dikatakan merupakan sebuah sukan tradisional Colombia yang dipercayai berasal sejak beberapa abad yang lalu yang diberi nama tejo. Meskipun, kurangnya bukti untuk membuktikan permulaan tejo, tejo yang ada pada ketika ini didasarkan dari permainan yang dicipta di Turmequem Boyaca, Colombia lebih dari 450 tahun yang lalu.
Dalam Sports and Games of the Ancients (1961), ahli sejarah sukan Steve Craig mencadangkan bahawa Chibcha Indians di Amerika Selatan bermain permainan semasa zaman pra-Columbine, sebelum ‘penemuan’ rantau ini oleh orang Eropah.
Sukan ini dimainkan di Colombia sahaja pada tahap rekreasi dan kompetitif. Peralatan utama yang diperlukan untuk sukan ini adalah kotak kayu (disebut pos), tejos (cakera logam), dan sasaran. Tiang selebar 90cm dan panjang 1m, dipotong pada sudut 35 hingga 45 darjah dan diisi dengan tanah liat. Papan pelindung yang jauh lebih besar daripada tiang biasanya diletakkan di belakang tiang untuk melindungi tejos yang tidak disasarkan daripada meninggalkan padang.
Tejos yang digunakan adalah cakera logam. Cincin logam bulat digunakan sebagai sasaran dan diikat rapat ke tengah tiang. Sasarannya mempunyai beberapa kantung berbentuk segitiga kecil yang dipenuhi dengan mesiu, yang disebut ‘mecha’, terpaku padanya, yang meletup ketika terkena.
Objektif sukan ini adalah untuk membuang tejos ke sasaran dari jarak 20m. Mata diberikan kepada lontaran berdasarkan di mana ia mendarat di pos. Empat permainan skor adalah, Hand (1 mata) – Untuk tejo yang paling dekat dengan sasaran, Hit (3 mata) – Ketika mecha meletup, Bullseye (6 mata) – Untuk tejo yang masuk ke dalam sasaran, dan Strike (9 mata) – hit dan bullseye pada lontaran yang sama.
Sukan lempar ikan tuna
Jadikan melempar ikan tuna sebagai sukan? Kalau difikirkan sukan ini sememangnya sukan yang unik dan aneh kerana menggunakan seekor ikan sebagai barang lemparan. Dalam masa yang sama kita berfikir ia sesuatu perbuatan yang membazir dan perlu dielakkan.
Pada asalnya ikan tuna yang digunakan ikan yang segar dan pada tahun 2008 ia ditukar menggunakan ikan tuna plastik. Hanya di peringkat akhir, mereka menggunakan Tuna Bluefin Selatan beku seberat 9 atau 10kg, dengan pegangan tali yang diikat melalui insang. Tidak ada ikan yang dibunuh untuk pertandingan ini, hanya ikan berukuran kecil yang telah mati secara semula jadi yang digunakan.
Sukan melempar ikan tuna atau dikenali sebagai Tuna Toss ini merupakan sebahagian daripada acara Festival Tunarama di Port Lincoln, Australia Selatan, sebagai perayaan industri perikanan tempatan.
Acara ini pertama kali diadakan pada tahun 1979, dan masih berlangsung sehingga kini. Pertandingan melempar ikan tuna ini merupakan acara yang paling menarik kerana hadiah yang ditawarkan agak lumayan.
Rekod terkini untuk lontaran terpanjang dipegang oleh pelempar tukul Olimpik Australia, Sean Carlin, yang melemparkan 37.23 meter pada tahun 1998. Carlin juga memegang rekod lemparan tukul Australia. Rekod wanita sejauh 22.15m ditetapkan pada tahun 2002 oleh pelempar tukul Brook Kruger.
Jombola
Sukan seterusnya ini merupakan sukan yang dicipta oleh seorang guru di Malaysia yang bernama Sukdev Singh pada tahun 2006.
Sukan jombola ini dikatakan gabungan tiga permainan iaitu tenis, ping pong dan badminton. Sukan ini hampir sama seperti sukan headis, namun perbezaannya pada tempat sukan ini dilakukan iaitu menggunakan gelanggang badminton dan ia merupakan sukan raket terbaru di dunia yang secara rasmi diperkenalkan pada bulan Ogos 2011.
Sukan ini menggunakan raket Jombola dan bola foam yang berkelas tinggi. Ia sesuai untuk semua peringkat umur, rekreasi dan prestasi tinggi, untuk kecergasan dan juga berdaya saing sepenuhnya.
Sukan ini dimainkan di gelanggang badminton, di mana dapat dimainkan secara perseorangan mahupun beregu. Ketinggian jaringan jombola adalah 4 kaki 4 inci pada ketinggian tidang dan tidak kurang dari 4 kaki 3 inci di tengah-tengah jaring dari permukaan tanah.
Sama ada permainan perseorangan ataupun beregu kiraan mata penamatnya adalah 15 dengan menggunakan sistem rally. Pemenang akan diisytiharkan kepada pemenang yang memenangi sekurang-kurang dua dari tiga set permainan.
Jika kedudukan seri, set permainan ketiga dianggap permainan penentuan.
Bagi permainan set penentuan kedua-dua pemain akan bertukar tempat gelanggang apabila salah seorang darinya menndahului hingga ke kiraan mata yang ke lapan.