Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Empat kedai di Terminal Larkin Sentral terbakar

    JOHOR BAHRU, 23 JULAI – Sebanyak empat unit kedai di tingkat satu Terminal Larkin Sentral, di sini terbakar, pagi tadi.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6:50 pagi dan menjalankan operasi pemadaman dengan kekuatan 30 anggota.

    Beliau berkata kebakaran di premis jenis kekal itu melibatkan dua kedai buku yang musnah 90 peratus, satu kedai minyak wangi (70 peratus) serta satu kedai kosmetik dan herba (10 peratus).

    “Operasi pemadaman sedang dilakukan kerana masih terdapat bara di beberapa kawasan terjejas dan kita mahu memastikan api tidak merebak ke kawasan lain. Kebakaran tidak melibatkan mangsa disebabkan waktu kejadian masih belum ramai orang dan penumpang bas berada di terminal bawah.

    “Siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai bermula dari kedai buku, sebelum merebak ke tiga kedai lain dan kebakaran menjejaskan kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan 640 premis perniagaan yang terdapat di terminal ini,” katanya kepada pemberita di terminal berkenaan.

    Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Hairi Mad Shah dan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat. – Bernama

    JBPM giat memadamkan kebakaran yang melibatkan empat unit kedai di tingkat satu di Terminal Bas Larkin Sentral. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda