Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Empat kesalahan berjaya dikesan oleh pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang (BPU), Jabatan Buruh semasa mengendalikan Operasi Siaga 249/2024 pada 4 November lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh, pemeriksaan dijalankan bagi kegiatan menjual barang keperluan pelbagai binatang di kawasan Kampung Kiarong dan mendapat kesalahan bawah Perintah Pekerjaan 2009 yang dilakukan oleh majikan kepada pekerja tempatan dan pekerja asing iaitu Bab 44 membuat pemotongan gaji pekerja yang tidak dibenarkan, Bab 39 gagal membayar gaji lebih masa pekerja, Bab 65 bekerja melebihi jam bekerja yang telah ditetapkan dan Bab 72 Gagal memberikan cuti sakit yang disahkan oleh pengamal perubatan.
Bagi kesalahan melanggar Perintah Pekerjaan 2009, jika didapati, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi kesalahan tersebut. Jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh ingin mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 seperti membayar gaji lebih masa pekerja dan tidak membuat pemotongan yang tidak dibenarkan.
Majikan juga hendaklah menetapkan jam kerja mengikut kehendak Perintah Pekerjaan 2009 serta memberikan kebenaran cuti sakit yang disahkan oleh pengamal perubatan.
Untuk maklumat lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 semasa waktu bekerja atau 7298989 di luar waktu bekerja.