Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Dengan memperkasakan konsep Belia Berwawasan, Pameran Hari Belia Kebangsaan turut menjadi salah satu pengisian bersempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan (HBK) ke-19, yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini sehingga esok.
Sebanyak 20 petak pameran telah berjaya dihimpunkan dalam satu ruang dengan dibahagikan kepada empat kluster iaitu Kluster 1: Ilmu dan Kemahiran; Kluster 2: Kualiti Hidup yang Tinggi; Kluster 3: Pembangunan Mampan; dan Kluster 4: Projek Cemerlang untuk Belia.
Dalam Kluster 1: Ilmu dan Kemahiran telah mempamerkan serta menonjolkan organisasi-organisasi yang menawarkan pelbagai program dan platform untuk meningkatkan serta menjana kemahiran para belia, khususnya dalam bidang kajian berimpak tinggi, teknovasi, dan industri kreatif.
Teach Me Guru, Upside, Nuqra Quranic Learning Centre Sdn Bhd, Zoha HN Enterprise, Kolej IGS Brunei Darussalam dan Cosmopolitan College telah mengetengahkan pengisian pameran masing-masing di bawah kluster tersebut.
Sementara dalam Kluster 2: Kualiti Hidup yang Tinggi yang terdiri daripada lima buah agensi iaitu SMARTER, Society for Commuity Outreach and Training (SCOT), Elite Alpha Fitness, Brumi Lestari (SDG Winner Responsible Production) dan Green Space. Dalam kluster ini telah mempromosikan program serta projek belia yang berhasil dan berjaya membantu pelbagai lapisan masyarakat, termasuk orang kelainan upaya (OKU). Fokus utamanya lebih kepada aspek penyediaan perkhidmatan gaya hidup sihat, perlindungan sosial, dan penjagaan alam sekitar.
Bagi Kluster 3: Pembangunan Mampan pula telah membarigakan sumbangan dan pencapaian belia dalam pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mampan.
Empat buah agensi mengikuti Kluster Pembangunan Mampan iaitu The Green Pearls, Purrfectly Green, Holistic Floodtech dan The Noon BN.
Manakala kluster terakhir iaitu Projek Cemerlang untuk Belia telah mempamerkan tiga projek serta dua bekas pemenang projek bagi kategori Projek Cemerlang untuk Belia sempena Sambutan HBK sebelumnya.
Menerusi kluster ini, projek yang dipilih merupakan contoh terbaik kreativiti, inovasi dan komitmen para belia dalam membina masyarakat yang lebih inklusif dan progresif.
Selain itu, dua bekas pemenang projek turut diketengahkan untuk menghargai pencapaian mereka yang luar biasa dalam kategori Projek Cemerlang untuk Belia. Jiwa BN, Yeggoo Pasteurized Eggs, Filem Al-Imam, Fatih Agriculture and Alya Enterprise dan DART Logistic merupakan agensi-agensi yang menyertai petak pameran di bawah kluster tersebut.
Di samping itu, di ruang tengah pameran berkenaan turut diserikan dengan petak pameran Hab Belia. Ia sebagai platform Instagram Hab Belia yang merupakan satu inisiatif Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) bagi membarigakan semua aktiviti sektor kebeliaan di bawah KKBS kepada orang ramai khususnya kepada golongan belia bagi mencapai jaringan yang lebih luas dan komprehensif.
Oleh yang demikian, bertepatan dengan konsep pameran, golongan belia turut berperanan sebagai jentera dalam mendorong pertumbuhan ekonomi Negara Brunei Darussalam yang merupakan salah satu daripada matlamat dalam Wawasan Brunei 2035.
Sebagai golongan belia yang sering menjadi pemimpin inspiratif kepada belia lainnya, Belia Berwawasan perlu berani menghadapi cabaran dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan. Melalui ciri-ciri ini, secara tidak langsung perlaksanaan Dasar Belia Negara dan Strategi (DBNS) 2020-2035 dapat dilaksanakan secara efektif demi mencapai pembangunan mampan, serta berperanan penting dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035.