Friday, November 15, 2024
33.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Empat lagi ikan kecil pilihan penggemar akuarium

    Oleh Raz AS –

    Seperti yang telah diterangkan pada keluaran sebelum ini, ikan-ikan hiasan kecil mempunyai peminat-peminatnya yang tersendiri.
     
    Meskipun sering dianggap sebagai spesies ikan ‘pemula’, iaitu sesuai dipelihara oleh penggemar-penggemar hobi ikan hiasan dan akuarium yang baharu berkecimpung disebabkan penjagaannya yang kurang cerewet, memberi pengajaran dan pengalaman sebelum penghobi beralih kepada ikan yang lebih mahal dan sensitif, ikan-ikan kecil turut menambat hati penggemar-penggemar yang sudah arif.
     
    Warna-warni ikan kecil yang berlegaran di dalam akuarium dalam kawanannya tersendiri menghidupkan lagi suasana akuarium tersebut, lebih-lebih lagi apabila ikan-ikan kecil yang berlainan spesies ditempatkan di dalam akuarium yang sama. Akuarium sedemikian ini dikenali sebagai ‘community tank’ atau akuarium komuniti.
     
    Pada keluaran kali ini, penulis akan menyenaraikan empat lagi spesies ikan-ikan hiasan kecil yang tidak kurang menariknya yang turut menjadi pilihan penggemar-penggemar hobi akuarium di seluruh dunia.
     
    SWORDTAIL
     
    Swordtail merupakan spesies ikan air tawar yang bersifat damai. Merupakan salah satu spesies livebearer, iaitu ikan yang melahirkan anak, ikan yang boleh membesar antara 3 hingga 4 inci panjang dengan jangka hayat antara tiga hingga lima tahun ini dikenali melalui sirip ekornya yang memanjang pada bahagian bawah, seakan-akan pedang. Meskipun swordtail betina tidak mempunyai ciri tersebut yang ada hanya pada jantan sahaja, swordtail betina tetap mempunyai warna badan yang menarik.
     
    SERPAE TETRA
     
    Serpae tetra merupakan sepupu kepada neon tetra, walau bagaimanapun, serpae tetra mempunyai bentuk badan yang lebih lebar dan berwarna merah terang dengan tompok hitam di bahagian sisi badannya. Ikan yang aktif dan hidup dalam kawanan ini membesar dalam kira-kira 1 inci panjang sahaja dan dapat hidup hingga mencecah lima tahun. Tidak seperti sepupunya yang bersifat lebih damai, serpae tetra dikenali dengan tabiat suka menggigit  sirip ikan-ikan yang ada di sekelilingnya, tidak kiralah daripada spesies yang sama atau berlainan. Oleh itu ia sesuai ditempatkan bersama ikan-ikan yang mampu berenang pantas.
     
    DWARF GOURAMI
     
    Salah satu spesies ikan sepat, dwarf gourami yang mempunyai warna badan merah terang dan biru neon ini hanya membesar sehingga 2 inci panjang. Boleh mencecah usia sehingga empat tahun, dwarf gourami dianggap sebagai ikan tahap pertengahan kerana ia memerlukan sedikit ketelitian pada penjagaannya untuk hidup dengan sihat.
     
    PANDA CORYDORAS
     
    Berlainan dengan spesies-spesies yang telah disenaraikan sebelum ini, ikan panda corydoras merupakan spesies ikan yang lebih suka berenang di bahagian dasar akuarium. Kelihatan comel berwarna hitam dan putih, seperti namanya ‘panda’, ikan bersifat damai dan nokturnal ini hanya membesar sehingga 2 inci panjang. Namun begitu komitmen kuat sangat diperlukan bagi penggemar yang ingin membelanya kerana ia boleh hidup sehingga 10 tahun dalam keadaan akuarium yang optimal.
     
    Dwarf gourami, spesies sepat kecil yang mempunyai warna badan terang dan menarik. – GAMBAR ZOOEXPERTE
    Berwarna hitam dan putih, panda corydoras kelihatan comel. – GAMBAR FLAIR WANG
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda