Empat lagi kampung Myanmar dikenakan sekatan

YANGON, 28 OGOS – Myanmar meluaskan pelaksanaan perintah berkurung di negeri yang dilanda konflik, Rakhine dengan penutupan empat lagi kawasan perkampungannya, hari ini.

Ia sekali gus mengehadkan pergerakan kira-kira sejuta penduduk susulan peningkatan kes COVID-19 di negara itu.

Perintah berkurung di ibu negeri Rakhine, Sittwe telah dikuatkuasakan sejak hujung minggu lalu dan empat lagi kawasan perkampungan yang ditutup adalah Kyaukphyu, An, Taungup dan Thandwe.

Rakhine adalah salah sebuah negeri termiskin di negara itu, sekali gus akses bagi kemudahan rawatan kesihatan dan pendidikan khususnya di bahagian terpencil adalah terhad.

Hampir 130,000 penduduk etnik Islam Rohingya bersesak di kem pelarian dekat negeri itu yang disifatkan Amnesty International (AI) sebagai suasana mirip ‘apartheid’.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan akhbar di negeri itu, Global New Light, semua penduduk diarahkan berada di kediaman masing-masing.

Selain itu, cuma kenderaan yang mendapat kelulusan pihak berkuasa dibenarkan menyediakan khidmat pengangkutan di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada penjawat awam dan pekerja kilang, manakala cuma seorang wakil bagi satu keluarga dibenarkan keluar bagi membeli barangan harian.

Setakat ini, 100 jangkitan baharu COVID-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam di seluruh negara, menjadikan jumlah kes keseluruhan kepada 574 dengan sebahagian besarnya membabitkan negeri Rakhine yang terletak di barat laut Myanmar.

Peningkatan kes COVID-19 turut mencetuskan kebimbangan berikutan Myanmar sedang bersedia untuk pilihan raya dan tarikh mengundi telah ditetapkan pada 8 November ini. – AFP