Sabtu, 22 November 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Empat lelaki ditahan pancar imej Trump, Epstein di istana UK

    LONDON, 18 SEPT – Empat lelaki yang ditahan selepas imej Donald Trump bersama Jeffrey Epstein dipancarkan ke Istana Windsor telah dibebaskan dengan ikat jamin, lapor PA Media/dpa hari ini.

    Polis Thames Valley (TVP) berkata, empat lelaki itu berusia antara 36 dan 60 tahun, ditahan pada malam Selasa atas syak wasangka melakukan komunikasi berniat jahat selepas aksi di kediaman diraja tersebut.

    Menurut pihak polis, mereka telah dibebaskan dengan ikat jamin, tetapi dengan syarat bermula kelmarin sehingga 12 Disember siasatan sementara akan diteruskan.

    “Mereka yang ditahan sedang disiasat untuk beberapa kesalahan yang mungkin, termasuk komunikasi berniat jahat dan kacau ganggu awam,” kata jurucakap TVP.

    Filem sembilan minit yang dihasilkan oleh kumpulan kempen politik British Led By Donkeys itu menceritakan sejarah kaitan presiden Amerika Syarikat (AS) tersebut dengan Epstein, termasuk pendedahan baru-baru ini oleh penggubal undang-undang AS mengenai dokumen yang dikatakan mengandungi surat daripada Trump kepada ahli kewangan pedofil itu untuk meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-50.

    Gambar Freepik

    Filem itu dipancarkan dari bilik hotel dengan pemandangan terus ke istana sebagai tindakan “protes damai,” kata jurucakap kumpulan kempen itu kelmarin.

    “Rakan-rakan saya ditahan kerana komunikasi berniat jahat, yang kedengaran tidak masuk akal, kerana kami telah melakukan 25 atau 30 pancaran sebelum ini, tidak pernah ada sesiapa pun yang ditahan,” kata jurucakap itu.

    “Jadi secara tiba-tiba, kerana ia melibatkan Trump, anda mendapat reaksi ini, yang mengejutkan, mengecewakan dan sangat berat sebelah daripada polis.

    “Saya rasa mereka ditahan kerana memalukan Donald Trump,” tambahnya.

    Di pusat bandar London, ribuan orang turut berarak membantah lawatan negara kedua Trump yang bersejarah itu.

    Sebahagian membawa kain rentang bertulis No to racism, no to Trump, manakala ada juga yang mengangkat belon gergasi berbentuk Trump setinggi 20 kaki, simbol protes yang mula muncul semasa lawatan negara pertama beliau ke Britain pada 2019. – Bernama 

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda