NEW DELHI, 20 MAC – India melaksanakan hukuman mati ke atas empat lelaki hari ini kerana disabit bersalah memperkosa dan membunuh seorang pelajar wanita dalam sebuah bas Delhi pada 2012 yang mencetuskan bantahan besar-besaran di seluruh negara dan dunia.
Keempat-empat mereka digantung sebelum subuh di Penjara Tihar di ibu negara India, beritahu ketua penjara, Sandeep Goel, kepada AFP, dalam pelaksanaan hukuman mati pertama di India sejak 2015.
“Keempat-empat banduan digantung pada pukul 5:30 pagi,” kata Goel.
Serangan kejam ke atas Jyoti Singh mencetuskan demonstrasi besar-besaran selama beberapa minggu dan mendedahkan kadar keganasan seksual yang membimbangkan serta masalah wanita di India di mana kira-kira 95 rogol dilaporkan setiap hari.
Pelaksanaan hukuman mati disambut dengan perayaan kecil di luar penjara pada awal hari ini.

“Kami berasa puas hati anak perempuan saya akhirnya menerima keadilan selepas tujuh tahun,” beritahu ibu mangsa Asha Devi kepada wartawan di luar penjara. “Binatang berkenan telah digantung.”
“Hari ini semua wanita India menerima keadilan,” beritahu penduduk Delhi Meena Sharma kepada AFP, sambil menggenggam bendera India.
“Saya datang ke sini pada kira-kira 3 pagi. Saya menunggu di sini kerana hari ini adalah hari besar untuk kami.”
Perayaan juga diadakan di kampung halaman Singh di utara Uttar Pradesh di mana ahli keluarganya bertukar-tukar gula-gula. Perdana Menteri Narendra Modi memberikan respons terhadap pelaksanaan hukuman mati di Twitter, berkata ‘keadilan berjaya dituntut.’
“Adalah penting untuk menjaga maruah dan keselamatan wanita,” ujar beliau di Twitter.
Ramai rakan sejawatan kabinet juga menyatakan perasaan puas hati mereka terhadap hukuman yang dilaksanakan.
India ‘telah memberikan mesej yang lantang kepada perogol bahawa jika kamu melakukan jenayah ini, kamu akan digantung,” tulis Swati Maliwal, pengerusi Suruhanjaya untuk Wanita Delhi. – AFP