Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Empat lokasi tempat letak kereta akan disediakan perkhidmatan ulang alik untuk Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Hari Ulang Tahun Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas pada 24 Februari ini.
Lokasi tersebut ialah kawasan letak kereta A di Jabatan Perdana Menteri (JPM), B kawasan letak kereta Bangunan Bahirah Dewan Majlis, C di kawasan letak Kereta Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), dan D di kawasan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK).

Perkara itu telah dikongsikan oleh Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Kewangan , Awang Mohammad Iskandar bin Haji Idris selaku Jawatankuasa Kerja Pengangkutan semasa sidang media mengenai persediaan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40, Tahun 2024 yang diadakan di Kementerian, Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS), hari ini.
Awang Mohammad Iskandar seterusnya menyarankan, bagi memastikan peserta yang terlibat berada di tempat perkumpulan seperti ditetapkan, pihak jawatankuasa memohon semua yang terlibat khususnya ibu bapa agar dapat memberikan kerjasama untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah masing-masing dan tempat shuttle point tepat pada masanya yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah.
Selain itu, beliau meminta kerjasama orang ramai untuk dapat berkongsi kenderaan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas semasa perhimpunan agung nanti.
Manakala itu, bagi pengusaha atau pemilik kenderaan berat juga disarankan supaya tidak melalui jalan-jalan utama seperti Jalan Menteri Besar, Jalan Perdana Menteri, Jalan Berakas, Jalan Kebangsaan terutama menuju ke Stadium Tertutup atau sebolehnya mengurangkan aktiviti atau menggunakan jalan alternatif lain pada hari tersebut.
Pengguna jalan raya juga diseru supaya mematuhi arahan kawalan lalu lintas dari Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).
Bagi memastikan lalu lintas bergerak lancar, pihak jawatankuasa kerja akan menyediakan perkhidmatan bas ulang alik untuk peserta persembahan, jemputan dan orang ramai di tempat penaikan dan penurunan yang ditetapkan.
Beliau seterusnya berharap kerjasama semua pihak yang terlibat untuk mematuhi arahan daripada JSKLL dan ahli jawatankuasa yang bertugas di tempat shuttle point.
Pada tahun ini, Bahagian Pentadbiran dan Kewangan, KKBS bersama Jabatan Pengangkutan Darat, Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan, Kementerian Pendidikan, Jabatan Pengajian Islam dan Jabatan Pembangunan Masyarakat diberi kepercayaan selaku penyelaras bersama jawatankuasa pengangkutan peserta terdiri daripada penuntut, maktab, mahasiswa, institusi tinggi serta perkhidmatan dari jabatan kerajaan, kementerian, persatuan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.

