Selasa, Julai 29, 2025
33 C
Brunei

    Berita Terkini

    Empat maut, 8 hilang akibat hujan lebat dan tanah runtuh

    MIYUN, 28 JULAI – Hujan lebat melanda utara China mengakibatkan tanah runtuh, tebing sungai musnah dan menghanyutkan beberapa buah kenderaan hari ini, dengan beribu-ribu orang terpaksa berpindah dari banjir selama beberapa hari.

    Di wilayah Hebei, yang mengelilingi ibu negara itu, tanah runtuh di sebuah kampung berhampiran bandar Chengde mengorbankan empat orang, dengan lapan lagi masih hilang, lapor penyiar CCTV negeri.

    Anggota kecemasan telah dikerahkan untuk memeriksa keadaan banjir di wilayah itu, di mana dua yang lain maut pada hujung minggu.

    Pasukan penyelamat telah memindahkan lebih 4,000 orang mangsa banjir di samping haiwan peliharaan mereka dari kawasan yang ditenggelami air di daerah Miyun di Beijing.

    Anggota bomba turut menyelamatkan 48 orang yang terperangkap di pusat jagaan warga emas, lapor CCTV.

    Ibu negara itu berada di bawah amaran tahap tertinggi bagi banjir dan kedua tertinggi untuk hujan, dengan ribut dijangka berterusan hingga esok.

    “Saya tidak pernah melihat air sedalam itu sebelum ini,” Cui Xueji, 67, penduduk tetap di kampung Taishitun, kepada AFP.

    Di Daerah Fuping, lebih 4,600 orang telah dipindahkan pada hujung minggu manakala di wilayah jiran Shanxi seorang diselamatkan dan 13 lagi hilang selepas kemalangan bas, kata media kerajaan. – AFP

    Gambar menunjukkan jalan raya ditenggelami air selepas hujan lebat di kampung Xin’anzhuang, di daerah Miyun, di pinggir Beijing pada 28 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda