BANGKOK, 24 SEPT – Empat orang maut akibat banjir di Thailand tengah, menurut agensi bencana negara itu kelmarin, dengan ramalan hujan lebat berterusan minggu ini semasa musim monsun tahunan.
Lebih 250,000 penduduk di beberapa wilayah sekitar lembangan Sungai Chao Praya terjejas oleh banjir minggu ini, kata Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana dalam satu kenyataan.
Dua lelaki lemas di wilayah Ayutthaya, utara ibu negara Bangkok, ketika cuba memindahkan barangan mereka melalui air banjir, manakala seorang lagi maut selepas perahu yang dinaikinya terbalik di wilayah Phetchabun.
Di wilayah Phichit, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun terbunuh ketika menunggang motosikal meredah kawasan banjir.
Jabatan Meteorologi meramalkan hujan lebat berterusan di wilayah utara, tengah dan timur Thailand, termasuk Bangkok, sehingga Jumaat, dengan kemungkinan berlaku banjir kilat.
Thailand lazimnya mengalami hujan lebat dari Jun hingga September, namun pakar berkata perubahan iklim akibat aktiviti manusia telah memburukkan cuaca ekstrem, menjadikan keadaan semakin tidak menentu.
Di utara Thailand bulan lalu, lima orang terbunuh dan 15 lagi cedera dalam kejadian tanah runtuh dan banjir yang dicetuskan oleh Taufan Kajiki. – AFP


