SEOUL, 19 MEI – Polis Korea Selatan hari ini memaklumkan seorang lelaki masih diburu selepas menikam empat orang, mengakibatkan dua kematian, sambil memberi amaran kepada penduduk tempatan supaya tidak keluar rumah sehingga suspek berjaya diberkas.
Kejadian berlaku sekitar jam 9:30 pagi tadi apabila suspek menikam seorang pemilik kedai serbaneka, seorang wanita berusia lingkungan 60an, sebelum melarikan diri di wilayah Gyeonggi, barat Seoul.
Selepas polis memberi maklum balas terhadap insiden itu, mereka menuju ke rumah suspek dan menemui satu mayat, yang menurut pegawai dari Balai Polis Siheung kepada AFP, “masih belum dikenal pasti identitinya.”
Dua jam kemudian, suspek menikam seorang lelaki berusia 70an, dan sekali lagi melarikan diri dari tempat kejadian.
Tidak lama selepas itu, polis menemui satu lagi mayat berhampiran sebuah rumah yang terletak berdekatan kedai serbaneka berkenaan.
Mangsa-mangsa yang cedera kini menerima rawatan di hospital dan sedang pulih, menurut seorang pegawai polis.
Suspek masih belum ditahan, dan “Balai Polis Siheung telah mengerahkan semua anggotanya untuk menangkap suspek,” kata pihak polis.
Penduduk tempatan menerima mesej amaran daripada Dewan Bandaraya Siheung pada petang hari ini yang menyatakan, “Satu insiden tikaman berlaku hari ini di kawasan Jeongwang-dong.”
Mesej itu turut menyatakan bahawa polis sedang menjalankan pencarian di lokasi kejadian dan menasihatkan warga tempatan untuk “mengelakkan keluar rumah dan mengutamakan keselamatan diri.”
Dewan Bandaraya kemudian menghantar satu lagi mesej amaran yang menyatakan suspek “berusia lingkungan 50an, berkepala botak, memakai jaket dan seluar berwarna gelap serta baju berwarna biru muda,” dan meminta orang awam untuk segera melaporkan sekiranya ternampak individu tersebut.
“Kami telah mengeluarkan poster dikehendaki rasmi bagi mempercepatkan penangkapan,” kata seorang pegawai polis Siheung kepada AFP.
Kes ini berlaku beberapa bulan selepas seorang guru menikam mati seorang murid berusia lapan tahun di sebuah sekolah rendah di Korea Selatan, dan terbaru seorang pelajar menikam empat individu di sebuah sekolah.
Namun begitu, Korea Selatan secara umumnya merupakan negara yang sangat selamat, dengan kadar pembunuhan hanya 1.3 bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2021, menurut statistik rasmi – jauh lebih rendah daripada purata global iaitu enam bagi setiap 100,000 penduduk. – AFP
