MILAN, 18 APRIL – Kereta kabel yang membawa pelancong di selatan Naples telah terhempas ke tanah kelmarin, selepas kabel itu putus, membunuh empat orang dan seorang lagi cedera parah, menurut pegawai.
Menurut Prefek Naples, Michele de Bari, kabel yang putus itu menyebabkan kedua-dua kereta kabel yang sedang bergerak naik dan turun di Monte Faito, di bandar Castellammare di Stabia, terhenti.
Kereta kabel yang sedang naik akhirnya terhempas, membawa kepada korban jiwa dan kecederaan, manakala lapan pelancong dan seorang operator berjaya diselamatkan dari kereta kabel yang sedang turun.
“Kabel tarikan telah putus. Brek kecemasan di bahagian bawah berfungsi, tetapi ternyata tidak pada kabin yang sedang memasuki stesen,” kata Datuk Bandar Castellammare, Luigi Vicinanza.
Pasukan penyelamat alp Itali, bersama pasukan bomba, polis dan perkhidmatan perlindungan awam bertindak balas terhadap kemalangan tersebut.
Kemalangan berkenaan berlaku hanya seminggu selepas perkhidmatan kereta kabel itu, yang terkenal dengan pemandangan Gunung Vesuvius dan Teluk Naples, dibuka semula untuk musim pelancongan.
Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni turut menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga mereka, dan memaklumkan bahawa beliau sedang berhubung rapat dengan pasukan penyelamat.
Beliau ketika itu berada di Washington untuk bertemu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. – AP
