SEOUL, KOREA SELATAN, 1 APRIL – Dua kapal terbang tentera udara Korea Selatan bertembung di udara semasa latihan dan terhempas berdekatan pangkalan mereka hari ini, membunuh kesemua empat orang dalam pesawat, kata pegawai.
Kedua-dua kapal terbang adalah pesawat pelatih KT-1, kapal terbang buatan Korea Selatan pertama, yang berlepas dari pangkalan tentera udara di tenggara bandar Saecheon satu demi satu untuk latihan penerbangan, kata tentera udara dalam satu kenyataan.
Perlanggaran berlaku kira-kira lima minit selepas pesawat udara pertama berlepas dan berada 6 kilometer dari selatan pangkalan Saecheon, kata tentera udara.
Dua orang – seorang juruterbang pelatih dan seorang pengajar – menaiki setiap pesawat udara KT-1. Keempat-empat mereka melenting keluar dari pesawat tetapi ditemui mati kemudian, menurut kenyataan. Keempat-empat mangsa dikenal pasti sebagai dua leftenan pertama dan pengajar mereka.
Tentera udara berkata ia akan menubuhkan pasukan petugas untuk menyiasat punca perlanggaran.
Lee Seong-gyeong, pegawai polis Saecheon, berkata sebuah kereta musnah selepas terkena serpihan tetapi menambah pegawai tidak sedar mengenai sebarang kerosakan kepada harta awam. Media Korea Selatan menyiarkan gambar kenderaan rosak dikelilingi serpihan mesin kapal terbang.
Pegawai kecemasan tempatan berkata sebelumnya tiga mayat telah ditemui di kawasan pergunungan dan ladang di Saecheon. Mereka berkata kapal terbang dipercayai terhempas di gunung disebabkan kebakaran meletus di sana.– AP
