Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Empat maut, serangan bom di Filipina

    MANILA, 3 DIS – Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan puluhan cedera dalam serangan bom semasa misa Katolik di selatan Filipina yang dilanda pemberontakan hari ini, dengan Presiden Ferdinand Marcos menyalahkan ‘pengganas asing’.

    Letupan itu berlaku semasa upacara pagi di gimnasium Universiti Negeri Mindanao di Marawi, bandar yang mempunyai penduduk Islam terbesar di negara itu.

    Leftenan Jeneral Emmanuel Peralta berkata empat orang terbunuh dan kira-kira 50 cedera dalam letupan yang disebabkan oleh bahan letupan buatan sendiri. Angka kematian sebelum ini adalah tiga orang.

    Beberapa pegawai keselamatan berkata serangan bom itu mungkin merupakan serangan balas dendam terhadap beberapa siri operasi ketenteraan terhadap kumpulan militan Islam sejak kebelakangan ini.

    Gambar yang disiarkan di laman Facebook kerajaan wilayah Lanao del Sur menunjukkan beberapa kerusi plastik terbalik, kaca pecah dan serpihan di sekeliling kawasan di lantai gimnasium.

    Penguat kuasa menjalankan siasatan di lokasi letupan di bandar Marawi, selatan Filipina pada 3 Disember. – AP

    Pelajar universiti, Chris Jurado, 21, memberitahu AFP dari katil hospitalnya bahawa letupan itu berlaku semasa upacara misa Katolik pada 7 pagi.

    “Ia benar-benar berlaku secara tiba-tiba dan semua orang berlari untuk menyelamatkan diri,” kata Jurado.

    “Apabila saya menoleh ke belakang, orang ramai berbaring di atas lantai. Kami tidak tahu apa yang berlaku kerana semuanya berlaku begitu pantas.”

    Rowena Mae Fernandez, 19, mengatakan pada mulanya dia tidak menyedari tentang letupan itu – kemudian orang lain mula berlari.

    “Saya dan rakan-rakan saya turut ikut berlari, walaupun kami terjatuh di atas tanah pada satu ketika. Itu sahaja yang saya ingat sehingga saya keluar dari gim dan saya terjatuh lagi,” katanya dari hospital.

    “Rakan-rakan saya menangis kerana mereka melihat kecederaan saya alami,” tambahnya.

    Marcos mengutuk serangan oleh pengganas asing, dan menggambarkannya sebagai tidak masuk akal dan keji. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda