Tuesday, May 13, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Empat menang ‘Anugerah Nobel Asia’

    MANILA, 31 OGOS – Seorang pakar psikiatri Kemboja yang merawat mangsa Khmer Rouge serta seorang aktivis alam sekitar Perancis yang membersihkan sungai di Indonesia adalah antara pemenang Anugerah Ramon Magsaysay 2022, hari ini, dianggap sebagai ‘Hadiah Nobel Asia’.

    Anugerah tahunan yang ditubuhkan pada 1957 itu dinamakan sempena nama presiden Filipina yang meninggal dunia dalam nahas kapal terbang, Ramon Magsaysay, yang memberi penghormatan kepada mereka yang melakukan ‘khidmat tanpa mementingkan diri kepada rakyat Asia’.

    Yayasan yang menganjurkan anugerah itu membuat pengumuman secara dalam talian bahawa terdapat empat pemenang pada tahun ini.

    Antaranya ialah Sotheara Chhim, 54, pakar psikiatri yang terselamat dari kekejaman rejim Khmer Rouge, yang membunuh hampir 25 peratus penduduk Kemboja melalui kebuluran, buruh paksa dan hukuman mati secara besar-besaran pada 1970an.

    Aktivis alam sekitar dan pembuat filem Perancis, Gary Bencheghib, 27, pula menerima Anugerah Magsaysay bagi usahanya membersihkan sungai Indonesia yang tercemar.

    Doktor Filipina, Bernadette Madrid, 64, pula mendapat anuge-rah itu kerana menubuhkan pusat perlindungan kanak-kanak di seluruh Filipina bagi membantu mangsa penderaan domestik.

    Pakar mata Jepun, Tadashi Hattori, 58, pula diberi penghormatan sama kerana menyediakan pembedahan mata percuma di Vietnam, di mana pakar dan kemudahan sedemikian adalah terhad. – AFP

    Sotheara Chhim menerima bunga daripada rakan sepejabatnya di Phnom Penh pada 31 Ogos. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda