BRUSSELS, 14 MEI – Sistem penanda aras pembasmian hutan yang diluluskan oleh negara anggota Kesatuan Eropah (EU) menyenaraikan hanya empat negara berisiko tinggi untuk penebangan pokok, sumber mengesahkan kelmarin.
Senarai itu, yang masih belum diterbitkan secara rasmi, merupakan komponen utama undang-undang anti-pembasmian hutan besar-besaran diluluskan pada akhir tahun lalu yang telah menghadapi tentangan daripada peniagaan dan beberapa rakan dagangan EU.
Diluluskan pada Isnin lalu oleh 27 anggota blok itu, senarai tersebut menilai semua negara EU serta China dan Amerika Syarikat sebagai negara berisiko rendah – tertakluk kepada semakan eksport yang kurang ketat, menurut beberapa sumber.
Brazil dan Indonesia, tergolong dalam kalangan negara berisiko standard manakala Rusia, Belarus, Korea Utara dan Myanmar berada dalam kategori berisiko tinggi.
Marie Toussaint, ahli Parlimen Eropah dengan Greens, berkata dia terkejut dengan ranking beberapa buah negara.
Manakala kumpulan alam sekitar, Global Witness, mengadu sistem penanda aras mempunyai kelemahan, dengan negara seperti Brazil dan Paraguay tidak dikategorikan sebagai berisiko tinggi, walaupun krisis penebangan hutan menjejaskan hutan iklim yang kritikal di sana.
Namun, undang-undang itu merupakan langkah ke arah yang betul, tambahnya.
Peraturan yang berkuat kuasa pada akhir tahun itu melarang pelbagai jenis barangan – daripada kopi hingga koko, soya, kayu balak, minyak sawit, lembu, kertas cetak dan getah – jika dihasilkan menggunakan tanah yang ditebang selepas Disember 2020.
Syarikat yang mengimport barangan berkenaan ke 27 buah negara EU akan bertanggungjawab untuk menjejaki rantaian bekalan mereka bagi membuktikan barangan tidak berasal dari zon yang ditebang, bergantung pada sistem lokasi dan data satelit. – AFP
