MANILA, 27 JAN – Pegawai pengawal pantai dan perikanan dari Filipina, Amerika Syarikat (AS), Vietnam dan Indonesia telah melaksanakan latihan teknik menaiki kapal dan penahanan dalam latihan penguatkuasaan undang-undang maritim bersama, kata Kedutaan AS di Manila hari ini.
Kursus selama dua minggu yang diadakan di pulau Mindanao, selatan Filipina itu adalah sebahagian daripada usaha serantau untuk meningkatkan kerjasama penguatkuasaan undang-undang berikutan kebimbangan terhadap konflik maritim dengan China.
Terdapat banyak kejadian pertembungan atau pertemuan tegang antara kapal Filipina dan China di laluan perairan strategik itu, serta insiden baru-baru ini melibatkan kapal Vietnam dan Indonesia.
“Secara bersama, kami menegaskan komitmen kami untuk memastikan kedaulatan maritim kami kekal sebagai zon keamanan, keselamatan dan kemakmuran untuk semua,” kata Komander Daerah Pengawal Pantai Filipina, Rejard V. Marfe, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan AS.
Marfe menggambarkan latihan yang berlangsung dari 13 hingga 24 Januari itu sebagai “sangat bermakna dalam memastikan mereka bersedia menangani ancaman maritim”, walaupun kenyataan itu tidak menyebut mengenai China.
Latihan itu merangkumi teknik menaiki kapal secara selamat di laut, undang-undang maritim, pengumpulan dan pemeliharaan bukti, keselamatan dan pengurangan risiko, serta teknik penahanan, menurut kenyataan itu.
Dalam latihan itu, Pasukan Sempadan Australia menyertai pengawai pantai, penguatkuasa kastam dan pegawai pengawasan perikanan sebagai pemerhati.
China telah mempertingkatkan pengembangan tentera lautnya dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bertujuan untuk meluaskan jangkauannya di rantau Pasifik dan mencabar pakatan yang diketuai oleh AS.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, China dilapor mengerahkan kapal tentera laut dan pengawal pantai untuk menghalang Filipina memasuki kawasan terumbu dan pulau strategik penting di Laut China Selatan. – AFP