Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Empat pegawai haji Darussalam Services Sdn Bhd (DSSB) telah berlepas ke Arab Saudi hari ini, untuk membuat persediaan awal bagi mengalu-alukan ketibaan jemaah haji di bawah pakej DSSB.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Darussalam Holdings Sdn Bhd.
Rombongan diketuai oleh Pengarah Urusan, Haji Mahmud bin Haji Mohamed mengatakan pihaknya akan mengadakan beberapa siri mesyuarat dengan pelbagai pihak bagi memastikan semua perancangan mengenai logistik seperti hotel, pengangkutan dan penyusunan bilik dan makanan berjalan dengan lancarnya.
Turut menyertai rombongan, Pengurus Am DSSB, Haji Jefri bin Haji Bachee, Penolong Pengurus Am, Jabatan Haji dan Umrah, Pengiran Haji Ibrahim bin Pengiran Haji Bakar dan seorang kakitangan dari Jabatan Haji dan Umrah, DSSB.
Bagi musim haji 1446H/2025M, pada jumlah 1,000 kuota yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi, seramai 506 bakal jemaah akan mengikuti pakej DSSB dalam tiga pakej iaitu Pakej Delima (Premium), Pakej Fairuz (Sederhana) dan Pakej Zamrud (Ekonomi) dan 13 orang pegawai.
Sebanyak empat penerbangan haji telah diaturkan untuk membawa para bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam yang akan mula bertolak pada 15 Mei bagi penerbangan pertama, seterusnya 16 Mei penerbangan kedua, 17 Mei penerbangan ketiga, 18 Mei penerbangan keempat.
Pada tahun ini, DSSB berbesar hati memberikan cenderahati berupa bagasi dan berbagai barangan serta buku panduan kepada setiap bakal jemaah haji, sebahagian cenderahati akan diagihkan selepas taklimat.