DUSHANBE, Tajikistan, 31 Julai – Polis di Tajikistan hari ini nampaknya menyalahkan parti pembangkang yang telah diharamkan bagi serangan yang sebelumnya dituntut oleh Kumpulan Islamic State (IS) yang mengorbankan empat orang pelancong dan pada awalnya dilaporkan sebagai kemalangan langgar lari di jalan raya.
Kenyataan polis mengelar lelaki yang ditahan itu sebagai ketua serangan yang membunuh dua orang pelancong dari AS, seorang dari Switzerland dan seorang lagi dari Belanda, adalah ‘anggota aktif’ Parti Pembaharuan Islam Tajiksitan (IRPT) yang telah diharamkan dalam tahun 2015.
Pihak berkuasa di negara Asia Tengah itu tidak memberikan bukti segera tentang kenyataan itu.
Menurut kenyataan polis Hussein Abdusamadov, 33 tahun, yang dikenal pasti oleh polis sebagai ketua kumpulan yang menyerang pelancong-pelancong, adalah ‘anggota aktif’ IRPT dan juga ‘telah menjalani latihan di Iran’, sebuah negara yang memiliki hubungan tidak sehaluan dengan Tajikistan.
Kumpulan pejuang jihad Islam IS semalam mengaku melancarkan serangan ke atas sekumpulan tujuh orang pelancong yang berbasikal di daerah Danghara, kira-kira 100 kilometer dari bandar Dushanbe, Tajikistan.
Meskipun serangan itu pada awalnya dilaporkan sebagai langgar lari, menteri dalam negeri Tajikistan, Ramazon Hamro Rahimzoda berkata semalam bahawa kumpulan itu bersenjatakan ‘pisau dan senjata api’. – AFP