MEXICO CITY, 21 OGOS – Empat warga Mexico maut dalam kemalangan pendakian di Pico de Orizaba, yang merupakan gunung tertinggi di negara itu, kata pihak berkuasa, kelmarin.
Pejabat pertahanan awam di negeri tengah Puebla berkata keempat-empat kematian itu nampaknya disebabkan terjatuh di gunung berapi itu, yang juga dikenali dengan nama aslinya Citlaltepetl. Ia mempunyai ketinggian hingga 18,619 kaki.
Pejabat itu berkata dua daripada pendaki itu berasal dari negeri jiran Veracruz dan sekurang-kurangnya seorang dari Puebla. Puncaknya terletak di sempadan antara kedua-dua negeri itu.
Gambar yang diedarkan oleh pejabat menunjukkan pekerja penyelamat cuba mengeluarkan mayat dari kawasan berbatu yang terhakis di bawah lereng yang lebih curam di atas garis salji.
Kemalangan di puncak tersebut bukanlah perkara biasa, dan sejak 2015, pasukan penyelamat dan pendaki telah menemui sekurang-kurangnya tiga mayat mumia di dalam salji di sana. Mereka merupakan pendaki yang hilang dalam runtuhan salji 1959. – AFP


