TEHRAN, 23 OKT – Pihak berkuasa Iran menjatuhkan hukuman mati ke atas empat orang hari ini setelah disabitkan bersalah menjual arak yang tercemar, mengakibatkan 17 orang maut tahun lepas, kata badan kehakiman.
“Hukuman mati terhadap empat defendan dalam kes keracunan yang disebabkan oleh pengambilan minuman beralkohol telah dijalankan di penjara pusat Karaj,” kata agensi berita badan kehakiman, Mizan.
Defendan telah dijatuhi hukuman mati pada September 2023 kerana menjual alkohol tercemar yang membunuh kira-kira 17 orang dan mengakibatkan lebih 190 yang lain dimasukkan ke hospital di wilayah Alborz, barat Tehran.
Iran melaksanakan jumlah hukuman mati tertinggi setahun selepas China, menurut kumpulan hak asasi manusia termasuk Amnesty International.
Iran mengharamkan pengeluaran dan penggunaan minuman beralkohol selepas revolusi Islam 1979.
Sementara itu, kes terbaharu yang dilaporkan oleh media Iran mengakibatkan kematian kira-kira 40 orang di utara Iran dalam beberapa bulan kebelakangan ini. – AFP