Friday, January 31, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Empat penuntut UBD, UTB sertai program pencegahan dadah

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Seramai empat orang penuntut dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB), hari ini, telah berlepas bagi mewakili negara dalam program The 4th Youth Network on Drug Prevention yang ditaja oleh Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB), Thailand.
     
    Program yang diadakan di dua buah negara iaitu di Thailand dan Kemboja berlangsung selama 10 hari yang bermula hari ini hingga 8 Februari nanti.
     
    Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat berlayar ialah Pengarah Biro Kawalan Narkotik (BKN), Dato Paduka Haji Zalani bin Haji Ismail. Delegasi negara terdiri daripada seorang penuntut UBD, Dayang Nur Izzah Hidayah binti Haji Md Ali dan tiga orang penuntut UTB iaitu Dayang Siti Nur Ain binti Shahruddin, Dayang Nur Asyiqin binti Muhammad Saifuddin dan Awang Ghazi Al Ghifari bin Haji Sani. 
     
    Sementara, Ketua Pegawai Narkotik I, Awang Mohamed Fairuz bin Haji Sulong merupakan pegawai kanan BKN yang dilantik selaku mentor untuk bersama mengiringi penuntut berkenaan.
     
    Semasa temu bual dengan Awang Mohamed Fairuz selaku pegawai pengiring rombongan, beliau berharap selepas mereka kembali daripada program tersebut, penuntut-penuntut yang terlibat dapat akan dapat membantu mereka dan mendapatkan lebih banyak pengetahuan tentang bagaimana pencegahan dadah dapat digunakan di Brunei sesuai dengan budaya negara ini.
     
    Awang Mohamed Fairuz semasa ditemu bual. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Para peserta program bergambar ramai bersama Dato Paduka Haji Zalani. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    “Walaupun kita tahu bahawa di tempat lain, sesuatu yang berkesan tidak semestinya berkesan di sini,” jelasnya.
     
    Katanya lagi, “mungkin selepas program ini, dalam masa enam bulan, mereka perlu melakukan sesuatu yang akan dibiayai oleh BKN sendiri dan mereka akan melaksanakan projek berkaitan pencegahan di Brunei.
     
    “Kami mengharapkan mereka dapat membantu kami dalam pencegahan ini, terutamanya bagi golongan kurang berkemampuan, yang mungkin mudah terjebak dalam penyalahgunaan dadah yang sekali gus boleh membebankan kerajaan,” tambahnya.
     
    “Peserta program ini, diharap akan dapat membawa sesuatu yang baik terutama kepada anak-anak muda untuk membantu mereka mengatasi penyalahgunaan dadah di Brunei,” jelas Awang Mohamed Fairuz.
     
    Antara lain tujuan program berkenaan adalah untuk memperkukuhkan usaha-usaha pencegahan dadah dalam kalangan belia melalui kerjasama serantau, perkongsian ilmu dan pengalaman antara negara-negara peserta.
     
    Di samping itu, ia juga memberikan platform kepada para belia untuk menyuarakan pandangan mereka mengenai langkah-langkah efektif dalam menangani ancaman penyalahgunaan dadah.
     
    Delegasi negara akan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang disusun sepanjang program, termasuk ceramah, bengkel interaktif, lawatan ke institusi berkaitan pencegahan dadah dan aktiviti rangkaian bersama belia dari negara lain. Aktiviti-aktiviti tersebut dijangka dapat mendukung kempen pendidikan pencegahan dadah di negara-negara ASEAN, Timor-Leste dan China.
     
    Usaha berkenaan merupakan hasil kerjasama di antara BKN dan institusi pendidikan tinggi di negara ini untuk bersama-sama menjayakan program tersebut.Penglibatan para penuntut dengan rakan-rakan belia lainnya bukan sahaja memperlihatkan komitmen Brunei Darussalam dalam usaha global membanteras penyalahgunaan dadah, ia juga boleh meningkatkan kesedaran dan memberikan pendedahan kepada belia-belia serantau akan isu dadah di peringkat serantau dan antarabangsa.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda