Monday, April 28, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Empat petua halau lipas dalam kereta

    LIPAS selalu ada di mana-mana sama ada di rumah, restoran, hotel, bilik pejabat, dapur dan di mana sahaja sehingga sering mengganggu kehidupan seharian kita.

    Lipas dengan sendirinya tidak menyebabkan apa-apa penyakit tetapi ia merupakan vektor atau pembawa kepada berjuta-juta bakteria yang menyebabkan penyakit. Di sini dikongsikan tiga sebab kenapa lipas berbahaya kepada manusia;

    1.Pencemaran makanan

    Lipas sebenarnya boleh hidup dengan memakan apa-apa sahaja. Selain daripada makanan yang kita makan, ia juga memakan tumbuhan mati, haiwan, najis, gam, sabun, kertas, kulit dan juga helai rambut jatuh. Ia mencemarkan makanan yang terdedah dengan cara meninggalkan rambut dan kulit mati serta mendepositkan kulit telur kosong di dalamnya.

    2. Membawa bakteria penyebab penyakit

    Satu kajian mendapati bahawa bakteria yang dikenali sebagai Pseudomona aeruginosa boleh membiak secara meluas dalam usus lipas. Ia boleh menyebabkan beberapa penyakit seperti jangkitan saluran kencing, masalah pencernaan dan juga sepsis (penyakit berkaitan inflamasi atau keradangan di seluruh tubuh).

    Lipas merupakan vektor atau pembawa kepada berjuta-juta bakteria yang menyebabkan penyakit.

    3. Alahan

    Lipas boleh menyebabkan alahan. Air liur rembesan dan bahagian badannya mengandungi beratus-ratus alergeb yang mencetuskan tindak balas kepada manusia dan boleh menyebabkan ruam kulit, bersin dan mata berair.

    Oleh itu, kita perlu memastikan rumah atau kereta kita bebas dari lipas untuk menghindarkan penyakit. Terdapat pelbagai cara untuk mencegah dan membunuh lipas seperti menggunakan racun serangga jenis kimia sintetik. Racun serangga jenis begini amat berkesan untuk membunuh lipas tetapi turut mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan manusia disebabkan kandungan bahan kimia yang terdapat di dalam racun serangga tersebut.

    Manakala beberapa petua untuk menghalau lipas dalam kereta, antaranya ialah:

    1. Elakkan makan dalam kereta

    Lipas gemar makanan. Kalau anda makan, tak mungkin tiada serpihan yang akan terjatuh ke bawah dan kemudian menarik perhatian lipas untuk mendiami di dalam kereta anda. Tapi, kalau makan dalam kereta memang tak dapat dielakkan, khususnya bagi yang ada anak kecil, anda harus melakukan kerja pembersihan selepas makan. Makhluk ini juga tertarik dengan persekitaran yang lembap. Jadi kalau ada air tertumpah, cepat-cepat lap dan bersihkannya.

    2. Bersihkan kenderaan secara teratur

    Membersihkan kereta secara teratur adalah cara terbaik untuk bebaskan kenderaan anda daripada makhluk perosak ini. Pastikan lapik, diantara kerusi dan pintu anda sentiasa bersih dan kering.

    3. Elakkan meletak kenderaan berhampiran tapak pelupusan

    Pemilik kereta harus menjauhkan diri dari meletakkan kereta berhampiran kawasan-kawasan seperti tempat pembuangan sampah dan tong sampah. Penyaman udara di dalam kenderaan sebenarnya adalah salah satu tempat masuk utama untuk lipas. Jadi, sebelum meninggalkan kereta, pastikan bahawa tingkap dan pintu ditutup rapat.

    4. Jangan letak daun pandan

    Penggunaan pandan memang mampu untuk mengharumkan kenderaan anda. Tapi, lipas tidak akan mati jika terhidu, sebaliknya jika daun pandan yang diletakkan itu sudah layu dan kering, ia dipercayai boleh menjadi makanan kepada lipas. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda