Wednesday, December 25, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Empat premis perniagaan dikeluarkan notis amaran

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Lima notis amaran telah dikeluarkan kepada empat buah premis perniagaan semasa pemeriksaan bersepadu bulanan yang dijalankan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna (JHEP) baru-baru ini, di premis-premis perniagaan Pekan Muara.

    Notis amaran tersebut adalah atas kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 iaitu tidak mempamerkan tanda harga bagi sebahagian barangan yang dijual dalam premis perniagaan dan menjual minyak masak melebihi harga maksimum yang ditetapkan.

    Pemeriksaan yang dijalankan bersama Unit Sukatan dan Timbangan (SDT) di Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi turut memeriksa sembilan unit alat sukat dan timbang yang digunakan dalam aktiviti jual beli.

    Kesemua alat berkenaan mematuhi Akta Sukatan dan Timbangan 1983, Penggal 151 dan Peraturan-peraturan (Penelitian) Alat-alat Sukatan dan Timbangan, 1994.

    Pemeriksaan bersepadu bulanan itu bertujuan untuk memastikan alat sukat dan timbang yang digunakan untuk perdagangan adalah sah, tepat dan berdaftar sepertimana menurut Akta Sukatan dan Timbangan 1983, Penggal 151; dan memastikan para peniaga tidak menjual barangan dikawal harga melebihi harga yang ditetapkan dan barangan yang dijual dipaparkan tanda harga yang jelas berdasarkan Akta Kawalan Harga, Penggal 142 bagi memelihara kebajikan para pengguna di negara ini.

    JPES dalam kenyataan yang dikeluarkan, mengingatkan para peniaga untuk sentiasa menjalankan perniagaan secara beretika dan tidak mengelirukan pengguna dengan sentiasa mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

    Kegagalan dalam mematuhi akta berkenaan boleh dikenakan kompaun tidak melebihi $1,000 dan bagi kesalahan berulang akan dikenakan denda maksimum sebanyak $20,000 dan penjara selama lima tahun.

    Para peniaga juga disarankan untuk memastikan alat sukat dan timbang yang digunakan dalam aktiviti perniagaan yang melibatkan bacaan tanda berat, isi padu, ukur panjang dan lebar, alat-alat tersebut mematuhi akta dan peraturan sukatan dan timbangan iaitu mempunyai pelekat pendaftaran dengan tempoh penggunaan yang sah yang dikeluarkan oleh Unit SDT.

    Para peniaga juga telah diarahkan dengan serta merta untuk meletakkan atau mempamerkan tanda berat bersih ke atas barang-barang berbungkus selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151, Ceraian 9.

    Pegawai penguat kuasa JHEP, JPES semasa memeriksa harga minyak di sebuah premis perniagaan di Pekan Muara. – Gambar serahan JPES
    Pegawai penguat kuasa membuat pemeriksaan di salah satu premis perniagaan. – Gambar serahan JPES

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda