BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Kementerian Kesihatan memaklumkan orang ramai bahawa empat produk minuman kopi segera telah didapati mengandungi bahan racun berjadual terkawal iaitu Sildenafil dan Tadalafil yang boleh membahayakan kesihatan.
Produk-produk berkenaan adalah ST Café – Hari-Hari Mau Coffee, 200g (dikilangkan/diedarkan oleh BioNutri Health & Care, Negeri Sembilan, Malaysia) dan Oasis Brazilian Pronto Kopi Campuran (3 in 1), 10 x 20g (Herbal Synergy Sdn Bhd, Selangor, Malaysia) yang dicemari dengan sildenafil dan tadalafil.
Manakala itu, dua lagi iaitu Kopi 29 Plus Energy Through Nature, 10 x 20g (Multi Energy Trading, Kuala Lumpur, Malaysia) dan Natural Herbs Coffee H Extra Power 100% Natural, 20g x 10 (Shifanah Resources, Selangor, Malaysia) dicemari dengan tadalafil.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, dapatan ini adalah hasil dari ujian makmal yang telah dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Saintifik ke atas beberapa contoh produk makanan yang diambil dari pasaran tempatan.
Penggunaan bahan-bahan berkenaan di dalam makanan adalah ditegah di bawah Peraturan-peraturan Kesihatan Awam (Makanan), (P1 Penggal 182). Kenyataan menjelaskan, sildenafil dan tadalafil adalah bahan yang dikawal di bawah Akta Racun 1956 (Penggal 114) dan digunakan bagi merawat mati pucuk yang memerlukan preskripsi dan pengawasan doktor.
Antara kesan-kesan sampingan apabila memakan bahan terkawal berkenaan ialah merasa mual, muntah-muntah, muka kemerahan dan pening.