Friday, December 27, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Empat sekeluarga terima sinar Islam

    Oleh Hajah Saemah Kepli

    KUALA BELAIT, 1 Jan – Bahagian Dakwah Daerah Belait, telah mencatatkan statistik pertama saudara baru bagi Tahun Baru Masehi 2018 hari ini, dengan pengislaman empat orang sekeluarga berbangsa Dusun di sini.

    Majlis pengislaman tersebut, yang dihadiri Pemangku Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar selaku tetamu kehormat, berlangsung di rumah No. 7 Simpang 34, Jalan Jaya Indera, Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Mumong.

    Saudara-saudara baru yang telah memilih agama Islam sebagai pegangan mereka itu ialah Awang Mahari bin Lasang, 74, bersama isterinya, Dayang Siti Munirah binti Abdullah Ngiam @ Uku Anak Ngiam, 66, dan anak mereka iaitu Awang Iromizi bin Mahari, 23, serta seorang balu, Dayang Siti Sulaimah binti Abdullah Lasang @ Tuasi bin Lasang, 75, kakak kepada Awang Mahari.

    Majlis tersebut telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diketuai oleh tetamu kehormat, diteruskan dengan acara pengislaman yang dikendalikan oleh pegawai-pegawai dari Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait.

    Awang Abdul Aziz semasa menyempurnakan penyampaian cenderahati kepada salah seorang saudara baru yang diraikan.
    Saudara-saudara baru bersama tetamu kehormat dan pegawai-pegawai Bahagian Dakwah Daerah Belait semasa Majlis Pengislaman berkenaan.

    Tetamu kehormat kemudian menyempurnakan penyampaian cenderahati kepada saudara-saudara baru yang diraikan dan kemudian majlis diakhiri dengan Doa Selamat.

    Menurut statistik Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait, seramai 68 orang yang direkod memeluk agama Islam sejak Januari hingga 31 Disember 2017, manakala pada tahun 2016 pula mencatatkan 110 orang.

    Daripada jumlah tersebut bangsa Iban merupakan yang tertinggi memeluk agama Islam pada tahun lepas iaitu seramai 36 orang, diikuti bangsa Filipina seramai 11 orang selainnya, Cina seramai lapan orang dan Dusun seramai enam orang, manakala Murut, Thailand dan bangsa lain masing-masing seramai seorang.

    Bahagian Dakwah Daerah Belait menjelaskan setiap mualaf adalah dikehendaki untuk mengikuti kursus yang dianjurkan oleh Pusat Dakwah Islamiah iaitu Kursus Bimbingan Pengenalan Islam selama 10 hari dan Kursus Skim Bimbingan Asas selama 14 hari, yang diadakan di Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait. Manakala Kursus Skim Bimbingan Lanjutan 1 dan 2 diadakan di Pusat Dakwah Islamiah Kampung Pulaie, Daerah Brunei dan Muara.

    Jabatan itu juga menyarankan kepada saudara-saudara baru supaya terus menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh jabatan-jabatan di bawah Pusat Dakwah Islamiah, untuk menambahkan lagi pengetahuan dan kefahaman mereka dalam agama Islam dan juga mengamalkan segala ilmu pengetahuan yang telah disampaikan kepada mereka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda