Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Empat orang pegawai dari Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang merupa-kan tenaga pengajar di persekolahan Arab diberikan biasiswa untuk mengikuti pembelajaran Bahasa Arab di Sultan Qaboos College, Kesultanan Oman.
Delegasi berkenaan telah berlepas ke Kesultanan Oman, hari ini, dan hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat belayar kepada pegawai-pegawai berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.
Turut hadir ialah Pemangku Pengarah JPI, Haji Shamshol bin Haji Omar, pegawai-pegawai dari JPI serta keluarga para pegawai yang berlepas ke Oman.
Salah seorang pegawai yang terpilih, Pegawai Pelajaran Ugama di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Katok, Dayang Azlina binti Hasabullah dalam temu bual ringkas bersama Media Permata menyatakan perasaan teruja dipilih sebagai salah seorang pegawai untuk mengikuti pembelajaran Bahasa Arab di Sultan Qaboos College, Kesultanan Oman.
Dayang Azlina menyatakan harapan, setelah menamatkan kursus berkenaan, mereka akan membuat satu intervensi untuk meningkatkan kemahiran bertutur Bahasa Arab dalam kala-ngan pelajar-pelajar di Negara Brunei Darussalam.
Pembelajaran itu akan berjalan selama lapan minggu dan merupakan kerjasama antara Negara Brunei Darussalam melalui KHEU dengan Kesultanan Oman.
