Friday, October 11, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Empat strategi tingkat prestasi pelaksanaan projek Persekutuan Sarawak’

    KOTA SAMARAHAN, 10 OKT – Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menggariskan empat strategi bagi meningkatkan prestasi pelaksanaan projek kerajaan Persekutuan di Sarawak. 

    Beliau berkata strategi berkenaan merangkumi pemantauan dan penilaian berterusan; latihan dan pembangunan kapasiti; memperkukuh kerjasama antara agensi serta penglibatan komuniti setempat. 

    “Pemantauan secara berkala melalui penggunaan teknologi seperti Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan aplikasi digital boleh membantu kita menjejaki kemajuan projek dan mengesan sebarang masalah yang timbul dengan cepat.

    “Selain itu, peningkatan pengetahuan serta kemahiran dalam kalangan penjawat awam Persekutuan haruslah sentiasa ditambah baik melalui latihan dan pelbagai program pembangunan kapasiti,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Aspirasi Kepimpinan KSN Bersama Anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan dan Negeri Sarawak 2024, hari ini.

    Seramai 4,000 anggota perkhidmatan awam Persekutuan dan Sarawak daripada pelbagai agensi dan jabatan menghadiri majlis berkenaan.  

    Mengulas lanjut, Shamsul Azri berkata koordinasi serta kolaborasi bersama agensi-agensi Persekutuan dan Sarawak memainkan peranan penting dalam menjayakan projek pembangunan di negeri itu. 

    Beliau berkata kesemua strategi itu akan turut mengatasi cabaran dihadapi penjawat awam Persekutuan, khususnya dari sudut geografi Sarawak yang mencabar dan kos logistik tinggi dalam melaksanakan projek pembangunan di negeri berkenaan. – Bernama

    Tan Sri Shamsul Azri menyampaikan ucapan semasa merasmikan Persidangan Penyelidikan Governans, Intergriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan kali ke-3 di Bangi, Selangor pada 26 September. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda