PARIS, 4 MEI – Polis Perancis telah melancarkan serbuan hujung minggu lalu bagi menyelamatkan seorang lelaki yang diculik di Paris dalam usaha memaksa anaknya yang merupakan seorang jutawan kripto untuk membayar wang tebusan, menurut pihak pendakwa raya. Empat orang telah ditahan.
Mangsa yang identitinya tidak didedahkan berjaya dikesan di satu alamat di kawasan pinggir bandar Essonne, Paris, yang diserbu pihak polis malam kelmarin.
Menurut sumber polis, seorang lelaki yang memakai topeng ski telah memaksanya masuk ke dalam van penghantaran.
“Kami percaya mangsa merupakan bapa kepada seorang lelaki yang mendapatkan kekayaan menerusi mata wang kripto dan penculikan ini melibatkan permintaan wang tebusan,” kata kenyataan pendakwa raya.
Akhbar Le Parisien turut melaporkan penculik telah menuntut antara lima sehingga tujuh juta euro (AS$5.7 juta dan AS$7.9 juta).

Sumber siasatan memberitahu AFP, salah satu jari mangsa telah dipotong dan terdapat kebimbangan akan berlaku lebih banyak kecederaan jika polis tidak menyerbu tepat pada waktunya.
Menteri Dalam Negeri Perancis, Bruno Retailleau memuji operasi polis yang ‘cekap’ menerusi hantaran di platform X.
Kes itu berlaku selepas kejadian penculikan seorang bos syarikat kripto Perancis, David Balland dan pasangannya pada 21 Januari lalu.
Dalam kejadian itu, jari Balland juga dipotong dan dia dibebaskan keesokan harinya.
Sembilan individu sedang disiasat dalam kes itu, termasuk ketua kumpulan yang berusia 26 tahun dan mempunyai rekod jenayah kerana kes penculikan sebelumnya.
Sebelum itu, seorang lelaki berusia 56 tahun turut ditemui dalam bonet kereta di kawasan berhampiran Le Mans. – AFP