Thursday, March 6, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Empat tan narkotik bernilai 2.72 trilion rupiah dirampas

    JAKARTA, 5 MAC – Pihak berkuasa Indonesia merampas 4.171 tan narkotik bernilai kira-kira 2.72 trilion rupiah dalam operasi besar-besaran di seluruh negara dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

    Operasi yang diketuai Agensi Siasatan Jenayah, yang dijalankan dari Januari hingga 27 Februari, menyaksikan penahanan 9,586 suspek serta pembongkaran hampir 6,900 kes berkaitan dadah.

    Ketua agensi itu, Pesuruhjaya Jeneral Wahyu Widada berkata dadah yang dirampas, termasuk 1.28 tan methamphetamine, 346,959 pil ekstasi, 493 kilogram ganja, 3.4 kilogram kokain, 1.6 tan tembakau sintetik, dan lebih dua juta pil haram lain, yang berpotensi menjejaskan lebih 11 juta orang.

    “Memerangi narkotik mestilah menyeluruh, menyasarkan kedua-dua aspek penawaran dan permintaan. Kami komited untuk memerangi dadah tanpa kompromi,” katanya pada sidang media dalam talian.

    Polis turut membongkar beberapa rangkaian pengedaran antarabangsa, termasuk yang dikaitkan dengan Freddy Pratama, antara raja dadah paling dikehendaki di Asia Tenggara.

    Empat warga asing ditahan dalam kes berkenaan, dengan pihak berkuasa merampas 35 kilogram methamphetamine dan lebih 1,000 pil ekstasi.

    Wahyu berkata sindiket pengedaran dadah menggunakan pelbagai kaedah penyeludupan, termasuk laluan darat dari Sumatera ke Jawa, penghantaran maritim dari kawasan Segi Tiga Emas dan Bulan Sabit Emas serta perkhidmatan kurier rasmi.

    Sesetengah sindiket turut mengendalikan makmal dadah secara rahsia di kediaman mewah yang dikawal ketat. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda